Sunday, 27 August 2017

RINDU SEORANG IBU DALAM WARNA-WARNA KEHIDUPAN WAHBA



Wahba (kiri) bersama Abdul Ahmad,
Mohd. Affandi Hassan, Rashid Ahmad dan
Abu Aman Bachik menghadiri Rumah Terbuka
Hari Raya Aidilfitri di rumah A.F.Yassin
beberapa tahun yang lalu

Kulit buku Rindu Seorang Ibu
Warna-Warna Kehidupan karya Wahba

Wan Hamzah Awang (Wahba) pernah muncul dengan sebuah karya antologi berjudul “Warna-Warna kehidupan: Rindu Seorang Ibu”. Antologi ini adalah himpunan dua genre, puisi dan cerpen. Katanya, “Jarang penulis menghimpunkan dua genre dalam satu antologi. Dan kalau nak kumpulkan puisi sahaja orang tak baca apalagi nak beli.”

Bagi Wahba ini satu strategi pemasaran, bukan beliau tidak mempunyai cukup karya dalam sesuatu genre. Difahamkan sebuah lagi antologi dua genre akan terbit tidak lama lagi dengan Warna-warna Kehidupan kekal sebagai judul siri. Ertinya akan banyak lagi cerpen dan puisi Wahba akan menemui khalayak pembaca.

Kemunculan anotlogi terbaru ini menandakan bermulanya kegiatan kreatif Wahba yang sejak sekian lama dikesampingkannya. Sejak sekina lama itu pula Wahba tidak aktif berkarya kerana tugas yang banyak menyita waktunya semasa di Utusan Melayu. Wahba pernah dipertanggungjawabkan memimpin Mastika, Utusan Zaman dan terakhir majalah ilmiah Pemikir. Di samping itu Wahba diamanahkan pula untuk menyelaraskan pemilihan karya kreatif bagi semua majalah terbitan Utusan Melayu (kini Utusan Karya).

Katanya, “Ini bukan soal prolifik atau aktif. Sekarang saya lapang selapangnya setelah bersara. Jadi itulah saya kumpulkan semua karya saya sejak mula menulis dahulu. Masa terbaik buat saya kerana kalau tak dikumpulkan karya saya akan hilang begitu sahaja. Dan ini senaskhah, bacalah.”

Menariknya, antologi ini mempunyai tajuk kecil yang kalau dibaca sekali lalu bagaikan memberi maksud keresahan penulis dalam sikap tenangnya. Wahba begitu pendiam orangnya, tak banyak bercakap. Wahba melukiskan dalam tajuk kecilnya, “Mencari hujung yang tiada bertepi, terbeku dalam kelu. Terkapai dalam resah. Hati mati. Lidah kelu, sepi memilu.” Tajuk kecil ini adalah sebahagian daripada bait “Resah” puisinya di halaman 31. Bagi yang mengenal Wahba (luar dalam) puisi ini mewakili dirinya.

Seorang penulis pernah melukiskan Wahba sebagai “Air yang tenang.” Penulis itu tidak menambah lagi. Tapi mungkin juga penulis itu tidak akan melengkapkannya dengan kata-kata “jangan disangka air tenang tiada buaya.” Mungkin dia ingin menambah pelengkap “ada arus yang bergejolak di dalamnya.” Maka penulis itu ingin melukiskan Wahba sebagai “Air yang tenang jangan disangka tidak bergejolak arusnya.”

Hampir semua sepuluh cerpen dalam antologi ini tidak mempunyai elemen provokatif, mengata atau menyinggung sesiapa. Kata Wahba, “Sebahagian besar cerpennya adalah gambaran persoalan manusia dengan kehidupan yang mengandungi berbagai-bagai warna dan emosi, derita gembira serta ceria dan pilu.”

Wahba orang lama dalam dunia sastera, walaupun dia menganggap dirinya belum cukup kuat untuk digelar tokoh atau veteran. Sebagai orang lama Wahba tidak mampu “terjun” bereksperimen seperti penulis generasi baru yang terlalu obses dengan pendekatan “avant-garde”nya dan teknik penulisan yang super terkini. Wahba pengikut konvensionalis dan seperti halnya “tradition dies hard” Wahba seperti tidak mahu tahu wujudnya teknik yang digilai penulis generasi muda hari ini. Sikap Wahba demikian bagaikan mempersoalkan rasional bahawa penulis konvensional tidak semestinya dinamik dan progresif. Juga rasional bahawa penulis yang tidak bersifat global dan bervisi besar itu tidak mengikut zaman dan masih tinggal di bawah kepompong masyarakatnya sahaja.

Wahba mempunyai pandangan bahawa soal maju atau tidak majunya penulis bergantung kepada ruang lingkup pemikirannya. Misalnya upaya membina bangsa dalam sesuatu karya terletak bukan pada besar kecilnyanya visi, global tidaknya sikap, atau ada tidaknya pemikiran gardu depan (avant-garde) seseorang penulis. Yang lebih penting misi dan visi yang digambarkan secara halus dan komunikatif. Sebarang teknik yang mempersulit komunikasi, walau bagaimana super terkininya, tidak akan membawa banyak manfaat jika gambaran misi dan visinya tidak terungkap.

Inilah yang cuba dimanfaatkan Wahba dalam antologi ini. Hampir semua cerpennya memperalatkan teknik konvensional dengan persoalan manusia biasa. Namun amat jelas Wahba mampu mendekatkan emosi dan sentimen watak-wataknya dengan realiti kehidupan sehari-hari. Malah dialog yang digunakan adalah mencerminkan keperibadian watak itu sendiri. Jika watak itu seorang posmen dia akan bercakap seperti seorang posmen, bukan seperti seorang pegawai atau ahli korporat. Makna kata, Wahba amat berhati-hati dalam pemilihan kata-kata untuk watak-wataknya. Malah dialog itu juga telah mencerminkan nilai-nilai universal.

Membaca cerpen-cerpen Wahba ini tidak memeningkan kerana tidak ada yang boleh membuatkan pembaca pening. Sebabnya teknik konvensional yang digunakan mampu mengajak pembaca turut sama menyelami resah gelisah atau suka duka watak-wataknya. Tidak ada persoalan timbal balik atau bawah sedar yang ruwet. Malah kebanyakannya bersifat kronologis dengan peleraian cerita yang tidak banyak menuntut orang berfikir.

“Aduhai Datin Peah” dan “Alahai YB” adalah dua daripada 10 yang barangkali boleh menyinggung, namun mesejnya tidaklah sampai melukakan. Dan realitinya memang begitu. Dalam “Alahai YB” (halaman 117), misalnya, apa yang dilukiskan Wahba adalah realiti kehidupan dunia politik. Yang menikam dan yang kena tikam. Jika tak sanggup diperlakukan demikian maka sebaiknya jauhkan diri daripada politik. Inilah mesej Wahba. Begitulah akhirnya watak Karim ditikam dari belakang oleh pencabarnya Kardi yang akhirnya terpilih sebagai calon parti.

Difahamkan semua cerpen ini telah disiarkan dalam pelbagai media. Dari sudut pengkaji, cerpen-cerpen ini tidak banyak memberi manfaat. Jalur pemikiran Wahba sebagai cerpenis sejak tahun 1970an lagi tidak dapat ditebak kerana tidak dicatatkan bila cerpen ini dicipta dan bila pula ia disiarkan. Ada kemungkinan cerpen awal dalam antologi ini disiarkan lebih kemudian berbanding cerpen-cerpen di bahagian akhir antologi.

Wahba yang kini sedang giat membantu Ran Publishers menerbitkan “Puisi 100 Penyair” menyelitkan puisinya dalam antologi ini. Setiap cerpen diselang seli dengan sajak. Ada 14 buah sajak, 10 daripadanya tentang ketuhanan sementara empat lagi tentang perjalanan. Persoalan tidak banyak lari daripada persoalan dalam cerpen. Wahba memilih sajak-sajak ini sebagai pelengkap yang harmonis kepada lukisan wajah cerpennya. Tidak sukar memahami sajak-sajaknya. Tidak ada unsur abstrak dan setiap patah kata yang dipilihnya adalah lambang-lambang yang mudah ditafsir. Kadang-kadang sajak Wahba ini adalah jelmaan prosa-prosa pendek. Saling tak tumpah.

Dalam sajak “Pemberian-Nya” Wahba menulis, “Bukan emas berlian/ intan atau wang berjuta/ yang diberinya/ Dia hanya memberi kamu/ sebuah kitab/ yang perlu kamu baca/ dan menghayati panduannya.” Wahba mengakhiri puisinya dengan “Jika kamu berfikir/ Kamu tidak akan sesat/ kerana kandungan dan panduannya/ memberi sinar bahagia/ selama-lamanya.

Inilah laras bahasa yang digunakan Wahba dalam puisinya. Memang sukar mencari kata-kata bombastik dengan jargon-jargon lagaknya (snobbish) dalam 14 puisi Wahba yang dimuatkan. Sebagai contoh lihat sahaja pemilihan kata-kata dalam sajaknya “gadis di sebalik cermin.” Wahba ingin menyampaikan bahawa wanita penjual maruah diri memanfaatkan kecantikan yang bukan asli yang hanya wangi di luaran tetapi hangit di dalaman. Indah khabar dari rupa.

Seperti halnya dengan cerpen tidak ada sumber rujukan yang sepatutnya dapat dimanfaatkan oleh pengkaji. Wahba menyedari kekurangan sumber ini, namun katanya “Ada banyak cara untuk orang mengkaji karya penulis.” Maksud Wahba mungkin, pengkaji biasanya tahu bagaimana membuat kajian. Pengkaji yang mahir boleh menilai karya, malah boleh meneka bila karya dicipta dengan hanya membuat perbandingan antara satu karya dengan yang lain.

“Warna-Warna Kehidupan Rindu Seorang Ibu” setebal 190 halaman membawa persoalan biasa lagi lokal tetapi mampu menyampaikan mesej yang universal kepada pembacanya. Tidak ada konflik antarabangsa, tidak ada teknik yang memeningkan. Wahba masih berpegang kuat kepada elemen konvensional. Antologi ini diterbitkan oleh Progressive Publishing House Sdn Bhd, Lembah Keramat. Harga senaskhah tidak dinyatakan. (Diperkenalkan oleh A.F.Yassin)


Saturday, 26 August 2017

PENYAIR DHARMAWIJAYA DARI KG.TALANG YANG SAYA KENAL


Dharmawijaya ketika di Universiti Malaya



(Kamaruzzaman bin Abdul Kadir, K. Zaman)
LAHIR : 23 Jun 1937 di Kampung Talang, Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan Darul Khusus.
ALAMAT : 31, Taman Rashidah Utama, Jalan Paroi, Senawang, 70450 Seremban, Negeri Sembilan Darul Khusus.
MENINGGAL DUNIA : April 2005 di Hospital Seremban, akibat kanser paru-paru.
KELUARGA : Meninggalkan isteri, Zaini Ma’aya, tiga anak Susilawati, Asrul Effendi dan Iza Hairani.

Dharmawijaya bukan nama asing dalam bidang penulisan dan akademik. Ketika beliau menghembuskan nafas terakhirnya di rumah hospital Seremban, April 2005 beliau masih mempunyai kontrak dengan Universiti Putera Malaysia di Serdang sebagai Sarjana Tamu. Beliau ditugaskan untuk membuat kajian tentang Keris dan sejarah perkembangannya di Negeri Johor.

Sasaran kajiannya ini sebenarnya sedikit terkeluar daripada bidang puisi yang hampir sinonim dengan namanya. Mengapa Keris dan tidak puisi-puisi atau pemuisi di Johor? Apabila ditanyakan kepada salah seorang rakan sekerjanya di universiti itu tentang perkara ini, rakannya itu tidak dapat menjawab. Barangkali Dharmawijaya mahu mencari kelainan setelah hampir seluruh kerjayanya sebagai guru, pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka dan ahli akameik di Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia, beliau mahu mencari “angin baru” dan pengalaman baru dalam bidang yang sama sekali asing baginya. Telah masuk tahun ketiga Dharmawijaya menjadi pegawai kontrak.

Lahir di Kampung Talang, Senaling, Kuala Pilah, Dharmawijaya mengenal dunia melalui kawasan sekitar kampungnya yang berbukit dan berbendang; berpaya dan bersungai. Beliau membesar dalam balutan resam budaya lingkungan adat perpatih. Alam terkembang menjadi guru dan ia menjadi objek renungannya. Jiwanya sensitif kepada sekitaran sehingga akhirnya sensitiviti itu ditumpahkan ke dalam tulisan-tulisan yang puitis. Pernah beliau menulis, “Kata adat banyak kiasan; ditunjuk dia tetapi bukan; bergulung pendek panjang terentang; tidak faham kalau tidak direnungkan.” Pentafsiran tentang sekitaran memperkaya bait-bait puisinya. Segalanya dikumpulkan dalam beberapa buah antologi, yang terawal Warna Maya.

Banyak yang menganggap Warna Maya adalah Dharmawijaya dalam puisi. Dua dekad sesudah itu, persisnya tahun 1993 lahir pula Derita Buana. Ini diikuti oleh Bintang Mengerdip (1984), Di penjuru Matamu (1975) dan Lagu Kehidupan (1983). Antologi Bahasa Alam yang disusunnya bersama Allahyarham Ma’arof Saad pernah menjadi buku teks kesusasteraan di peringkat SPM mulai tahun 1984. Hampir 200,000 naskhah dicetak.

Satu hari dalam bulan September 1996, saya menghantarnya pulang ke rumahnya di Taman Rashidah Utama, Seremban. Kami baru sahaja selesai menghadiri Seminar Pengemaskinian Prasejarah Negeri Sembilan yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Bandar itu. Beliau mempelawa saya masuk ke rumah tetapi saya menolak kerana hari hampir Maghrib dan saya perlu pulang ke Bandar Baru Bangi. Perjalanan masih jauh. Saya memerhatikannya sehingga dia hilang dimamah senja.

Inilah rumah yang sering saya kunjungi pada akhir-akhir tahun 1980an dahulu. Begitu kerapnya saya bertandang ke rumah ini sehingga saya hampir tidak percaya bahawa sudah enam tahun lamanya saya tidak menjejakkan kaki, walau hanya di pintu rumahnya. Dan dia pun seperti menyendiri dalam dunianya dan sesekali saya temui dunia rindunya itu melalui bait-bait puisinya dalam media yang langsung atau tidak langsung mempamerkan kehadirannya.

Saya dapat membayangkan betapa dia acapkali akan merenung nun jauh ke timur melalui jendela kamarnya. Renungannya akan membelah gunung dan ngarai di depannya, lalu renungannya akan terus menerjah dinding kamarnya menuju satu daerah di mana dia dilahirkan, iaitu di Kampung Talang. Barangkali pula ketika itu dia melepaskan resah rindunya kepada kampung halaman laksana sembilu menhiris pedih hatinya, lalu dia pun menghimbau:

Pada teguh tenangmu
Menerima hari-hari yang pergi dan datang
Pastilah ditidur jaga anak-anakmu
Sayu matanya ke sawah ladang
Pilu hatinya di bukit berjurang

Betapa degup jantungnya tiba-tiba menjerat emosinya lalu ingatannya menelusuri bendang luas di depannya yang dipagari petak permatang dengan sungai membelah lalu dari utara ke selatan. Di seberang sungai tersergam teguh banjaran bukit menghijau, dadanya menampung rezeki petani seisi desa. Dan setiap petang sinar matahari akan menghilang di celah rimbunan belantara sepanjang banjaran, tanda sehari lagi meningkatnya usia desa dan para penghuninya.

Demkian pulalah Dharmawijaya, nama sebenarnya Kamaruzzaman Abd. Kadir, seorang penyair tanah air yang banyak melahirkan puisi-puisi tentang petani. Kampung Talang yang merupakan tanah kelahirannya adalah wajah daripada suatu kehidupan masyarakat petani yang banyak terpancar dalam puisi-puisi Dharmawijaya. Kampung Talang dan Dharmawijaya hampir menjadi sinonim, Dharmawijaya menjadi terkenal sebagai penyair yang banyak mengungkapkan masalah dan aspirasi rakyat tani di samping gambaran desa kampung halamannya sendiri. Hingga kini sudah lebih tiga puluh tahun Dharmawijaya mengabdikan dirinya dalam dunia perpuisian Melayu.

Demikian pulalah, anak Kg. Talang ini seada hayatnya akan merenung jauh ke timur, meladeni jiwa romantisnya, memuja-muji realiti alam dan waktu yang berlalu. Sejak tahun 1967, dia terus mengaprisiasi ketulusan tanah leluhurnya yang telah memperkenalkan dirinya erti hidup dan kehidupan.

Itulah Dharmawijaya, yang menurut Ahmad Tarmizi, penulis Riau adalah nama Indonesianya. Dharmawijaya adalah “warna maya”, segugus puisi rasa seorang insan yang lahir daripada sudut jiwa dan kejiwaannya.

 Dharmawijaya berpendidikan sekolah Melayu sehingga tahun 1952. Menerima pendidikan di peringkat pengajian tinggi sehingga memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1976. Menjadi pendidik di pelbagai sekolah, terutama di Sekolah Chi Hwa Seremban sebagai guru Bahasa Kebangsaan dan Sekolah Menengah Datuk Abdul Samad di Tanjung Ipoh sebagai guru kanan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu. Antara tahun 1966 hingga tahun 1967, beliau dilantik oleh Kementerian Pelajaran menjadi pensyarah sambilan untuk memberi kursus kepada guru-guru Pusat Latihan Daerah dalam mata pelajaran kesusasteraan dan kebudayaan Melayu. Beliau kemudian dipinjamkan untuk berkhidmat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai pembantu sastera. sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya pada tahun 1973. Kemudian beliau mengambil ijazah Sarjana Sastera juga dari Universiti Malaya pada tahun 1981. Setelah berkhidmat beberapa ketika di pelbagai sekolah di Seremban beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Beberapa tahun kemudian beliau dilantik sebagai Profesor Madya di jabatan yang sama hingga beliau bersara.

Dalam bidang kesusasteraan, beliau mula berjinak dengan genre puisi sejak aawal tahun-tahun 1960-an. Puisi awalnya berjudul “Kerana Hati” dengan menggunakan nama pena K. Zaman. Kemudian lahir pula sajaknya “Anak Perantau” yang tersiar dalam majalah Mastika Oktober 1962. Beliau mengasah bakat menulisnya ketika menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim, yang terkenal dengan panggilan Maktab “Suluh Budiman.” Beliau banyak belajar melalui bacaan buku-buku sastera dari Indonesia. Dengan lahirnya puisi-puisi beliau yang begitu banyak yang memenuhi ruangan-ruangan sastera dalam akhbar-akhbar tempatan seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Utusan Zaman, Dewan Masyarakat dan Mastika, memang tidak perlu diragukan lagi tentang minat dan kebolehannya dalam sastera, khususnya puisi. Kebolehan beliau dalam menggubah pantun untuk rancangan Televisyen Malaysia yang pernah diterbitkan oleh Zainal Abu beberapa ketika dahulu juga memperlihatkan kebolehan yang membanggakan peminat-peminat pantun di tanah air.

Dengan mewarisi keupayaan yang serba boleh ini, beliau dilantik menjadi Ketua I badan Ikatan Sastera Universiti Malaya (ISUM), sebuah badan yang aktif dalam kegiatan sastera pada tahun 1976. Ketika itu Dharmawijaya masih lagi menjadi mahasiswa. Dengan pimpinan beliau, ISUM telah berjaya menerbitkan sebuah kumpulan puisi yang berjudul Bila Kita Berbicara. Walau bagaimanapun setakat ini, Dharmawijaya telah menghasilkan dua buah kumpulan puisi, Warna Maya (1974) dan Derita Buana (1992).

Jika kita hayati ulasan karyanya oleh pengkritik tempatan nescaya kita dapati Dharmawijaya sebenarnya menilai kehidupan desa bersama manusianya. Dalam “Kampung Talang” , Dharmawijaya melihat masyarakat tani dengan masalah kemiskinannya dan iyang digambarkan dengan segala kejujuran. Bacalah juga bait-bait dalam puisi-puisinya seperti “Cinta Sayang di Sawah Ladang”, “Balada Gadis Tani”, dan “Senyum Anak Tani”, dan sebagainya. Nada suaranya simpatik melalui pemerhatiannya dengan usikan rasa yang mengharukannya. Buku kajiannya Nasionalisme dalam Puisi Melayu Moden 1933-1957 yang merupakan tesis sarjananya telah terpilih memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1982/1983. Sebelum itu, puisinya “Sumpah Tanah Air” dan sebuah lagi bertajuk “Masih Ada” masing-masing terpilih memenangi Hadiah Karya Sastera dalam tahun 1971 dan 1976. Dharmawijaya kemudiannya dilantik menganggotai Panel Hakim Hadiah Sastera Malaysia mulai tahun 1984/85. Sebelum dilantik panel hakim beliau pernah pula menjadi pemenang Hadiah Sastera Malaysia beberapa kali, iaitu pada tahun 1971, 1976 dan 1982/83. Semuanya dalam bidang puisi.

Selepas bersara dari Universiti Malaya, beliau berkhidmat pula di Universiti Putera Malaysia, Serdang, sebagai Sarjana Tamu di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Pengajian Bahasa-bahasa Moden, mulai 1996 sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 2005. Selain itu beliau telah dilantik menjadi Ketua Penilai Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak dan menganggotai Panel Anugerah Sastera Sarawak mulai tahun 1992. Dharmawijaya telah terpilih menerima Anugerah S.E.A. Write Awards di Bangkok pada tahun 1993, Anugerah Penyair Gapena 1999 dan Anugerah Pujangga UPSI pada tahun 2002. Sebagai anak Negeri Sembilan yang telah berjasa dalam bidangnya, beliau telah dianugerahkan Darjah Setia Negeri Sembilan pada tahun 1995.

Masih saya ingat ikatan kami berlima, iaitu Datuk Prof. Dr. Hashim Awang, kini di Universiti Brunei Darussalam, Prof. Madya Dr. Othman Puteh (Allahyarham), Sdr. Mohd. Yusof Md. Noor, Dharmawijaya (Allahyarham) dan saya sendiri. Pada suatu ketika dalam tahun-tahun 1980-an, kami sering sahaja berpergian bersama-sama, terutama mengunjungi tanah seberang, Indonesia. Tiga bandar utama sering kita kunjungi, iaitu Medan, Jakarta dan Bandung. Biasanya kami ketika pergi kami hanya membimbit satu beg pakaian tetapi ketika pulang ke tanah air beberapa hari kemudian, jumlah beg bertambah. Ada yang membawa dua beg dan ada ketikanya tiga buah.Isinya bukan pakaian tetapi buku yang kami beli daripada toko-toko buku. Masih saya ingat Allaahyarham Dharmawijaya berebut-rebut buku dengan Allahyarham Othman, tertama ketika berada di Toko Gramaedia di Jakarta atau Toko Deli di Medan atau toko buku al-Maarif di Bandung.

Ketika berebut buku itulah Dharmawijaya sering berkata beruang-ulang bagaikan melarang kami merebut nashkah buku di rak atau di tangannya. Katanya dalam satu ayat pendek, “Ini ese punyo,” dalam loghat Negeri Sembilan yang pekat. Dan kami selalunya akan ketawa panjang melihat karenah dan gelagat beliau, terutama ekpresi wajah di mukanya. Dharmawijaya benar-benar menghiburkan kami. Inilah pengalaman yang tidak mudah kami lupakan ketika bersamanya di toko-toko buku.

Dan satu lagi cerita yang mungkin dapat kita kongsi bersama ialah tentang proses menyiapkan manuskrip untuk kami terbitkan dalam bentuk buku. Ketika saya bertugas di Penerbit Fajar Bakti pada tahun-tahun 1980-90an, kami sering memintanya menyiapkan manuskrip. Biasanya kami akan memberikannya tempoh masa yang cukup untuk menyiapkan. Dan dalam mengejar deadline, lazimnya juga kami akan menghubunginya dengan langsung berkunjung ke rumahnya. Sepanjang pengetahuan kami, belum pernah sekali Dharmawijaya dapat menyiapkan manuskripnya mengikut jadual. Dan kami menjangkakan demikian dan atas dasar itulah kami sengaja mempercepat tempoh deadline, kerana kami amat memahami sikapnya dengan “masa”.

Bagaimanapun apa yang hendak kami ceritakan ialah tentang tingkahnya yang meyakinkan. Pernah suatu waktu saya dan Ma'arof Saad (Allahyarham), editor yang mengendalikan bukunya mengunjungi rumahnya pada malam hari di Taman Rashidah Utama, Seremban. Ketika kami sampai Dharmawijaya telah sedia menunggu di pintu gerbang rumahnya. Yang menghiburkan kami ialah cara beliau meyakinkan kami bahawa permintaan deadline kami itu akan segera dipenuhi. Dharmawijaya akan berkata, “Siap. Jangan bimbanglah.” Dan sambil itu kedua-dua ibu jari kakinya akan menguit-nguit mengikut pertuturannya. Ini dilakukannya berulang-ulang kali sambil kami menikmati minuman. Benar-benar kami terhibur dibuatnya sehingga kami lupa tujuan sebenar kami mengunjunginya. 

Begitu juga halnya ketika kami minum di warong kopi atau di restoran. Dharmawijaya akan membiarkan teh tarik panasnya beberapa ketika tanpa disentuh. Jadi kami ahajalah yang minum dan apabila kami tegurnya supaya meneguk teh tariknya dengan selamba beliau menjawab, “Minumlah dulu. Nanti ese minum.” Lantas beliau berada seperti orang berfikir, merenung ke hadapan, mungkin melihat kenderaan yang lalu lalang atau tengah “dirasuk” ilham. Kami tidak pasti. Sesekali beliau memerhatikan kami minum. Setelah beberapa minit, Dharmawijaya akan menyentuh cawan atau gelas minumannya, barangkali untuk memastikan apakah tehnya sudah pada pereingkat suam-suam panasnya. Dan kemudian dengan sekali lalu beliau akan menghirupnya hingga habis.

Demikianlah Dharmawijaya yang kami kenal. Hubungan kami secara peribadi bermula pada tahun 1972, persisnya pada hari Isnin, 7 Februari, ketika saya mula bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka. Dharmawijaya diperkenalkan kepada saya oleh Saleh Daud (Allahyarham) yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Unit Sastera Kanak-Kanak, merangkap editor Dewan pelajar. Dharmawijayapula berugas sebagai Penolong editor majalah berkenaan. Dharmawijaya menyapa saya, “Koba Cik Fadil kita. Donga eh kito ni warihkan?” Lalu kami bersalaman. Saya duduk bersebelahan dengan beliau. Dan di dalam bilik kerja itu ada Kemala (Datuk), Shamsuddin Jaafar, Awam il-Sarkam dan A. Karim Abdullah. Kmi berenam sebilik. Memagari kami ada Usman Awang di bilik sebelah kiri dan Abdullah Hussein dan Saleh Daud di bilik sebelh kanan. Dan gurauan dan mainan bibir kami waktu ialah sebutan “Haji Tahir” dan “Dol Keropok”. Sesekali pintu bilik dibuka dan dengan ketawa kecil Abu Yazid Abidin atau Wijaya Mala menegur kami semua, terutama Awam il-Sarkam yang duduk dekat pintu, “ Assalamualaikum Haji Tahir!”. Sampai sekarang ini kami masih tidak tahu siapa sebenarnya Haji Tahir. Barangkali Kemala tahu tetapi sengaja menyembunyikan rahsia itu dari saya.


KARYA

Antologi Puisi : Bingkisan Angkatan Baru (antologi bersama), Kuala Pilah: Pustaka Hang Tuah, 1956, 62 hlm.; Himpunan Sajak (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1969, 139 hlm.; Warna Maya, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1974, 84 hlm.; Bila Kita Berbicara (antologi bersama), Kuala Lumpur: Ikatan Sastera Universiti Malaya, 1976, 115 hlm.; Puisi-puisi Nusantara (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981, 294.; Tinta Pena (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1981, 631 hlm.; Burung Musim (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya, 1983, 84 hlm.; Lagu Kehidupan (Peny.), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983, 302 hlm.; Bintang Mengerdip (Peny.), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 1984, 75 hlm.; 100 Sajak Malaysia (antologi bersama), Kuala Lumpur: Tra-Tra Publishing & Trading Sdn. Bhd., 1984, 141 hlm.; Bahasa Alam (antologi bersama) , Petaling Jaya, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1984, 108 hlm.; Bunga Gerimis (Peny.) Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986, 132 hlm.; Puisirama Merdeka (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1986, 141 hlm.; Kumpulan Puisi Malaysia 1975-1985 (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, 167 hlm.; Puisi Baharu Melayu 1961 – 1986 (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, 941 hlm.; Malaysia dalam Puisi (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, 316 hlm.; Derita Buana, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, 64 hlm.; Suara Rasa/Voice From Within (antologi bersama), Kuala Lumpur: Maybank, 1993, 228 hlm.; Puisi-puisi Kunjungan (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, 253 hlm.; Rupa Kata (antologi bersama), Ipoh, Yayasan Kesenian Perak, 1996, 122 hlm.

Esei/Kritikan : Nasionalisme dalam Puisi Melayu Moden 1933 – 1957, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982, 181 hlm.; Nasionalisme Dalam Persuratan (antologi bersama), Kuala Lumpur : Muzium Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka, 1985, 227 hlm.; Sastera dan Sasterawan III (antologi bersama), Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia, 1985, 149 hlm.

Kajian : Tanggapan dan Kaedah Pengajaran Puisi, Petaling Jaya: International Book Service, 1987, 151 hlm.; Inti sari Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1987, 143 hlm.; Berkenalan dengan Puisi, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1988, 116 hlm.; Dunia Puisi dalam Penelitian dan Pengajaran, Petaling Jaya: Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1988, 271 hlm.


RUJUKAN

1. A. samad Idris, Norhalim Hj Ibrahim dll, (Peny.), Adat Merentas Zaman, Jawatankuasa Penyeidikan Budaya Negeri Sembilan, 1994.
2. A.F.Yassin, Sembang Sastera Bersama Orang Persuratan, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, Shah Alam, 1998.
3. Baharuddin Zainal, suffian Hussain dll., (Peny.), Wajah, Biografi Seratus Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1981.
4. Dharmawijaya, Dunia Puisi: Dalam Penelitian dan Pengajaran, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., Shah Alam, 1998.
5. Maarof Saad, Bahasa Alam, Penerbit Fajar bakti Sdn Bhd., petaling Jaya, 1983.
6. Salim Haji Taib dan Mahaya Mohd Yassin, Karisma PEN, Biografi Penulis Negeri Sembilan, Kerajaan Negeri Sembilan dan Persatuan Penulis Negeri Sembilan, Seremban, 2005.

(kertas kerja Drs. Ahmad Fadzil Yassin ini disampaikan di Seminar Kesusasteraan: Dharmawijaya Dalam Kenangan di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Komunikasi dan Bahasa-Bahasa Moden, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, pada 14 Mac 2009.)



MALU KITA ORNG MELAYU BIAR BERTEMPAT

Di sebuah perkampungan tradisi orang Melayu
 di kaki Banjaran Titiwangsa. Kampung tradisi ini
lazinya secara umumnya adalah kawasan
tanah rizab orang Melayu

Ketika membaca berita muka depan akhbar “Utusan Malaysia” 24 Ogos lalu (tahun bila  saya lupa), saya berada di Skudai, sedang sarapan di satu gerai di Taman Tun Aminah, kira-kira 10 kilometer dari Johor Bahru. Kebetulan duduk di sebalah meja saya seorang tua dengan rambut dan janggut berwarna putih. Pakaiannya sedikit lusuh dan sesekali dia memerhatikan saya. Setelah beberapa kali membalas senyuman kami akhirnya duduk semeja. Saya tanyakan mengapa dia sering sahaja memandang saya.
 “Tidak,” katanya. “Saya sedang  tengok surat khabar yang awak pegang.”

Ternyata orang tua itu yang berbadan sasa, sedang memerhatikan tajuk berita “Melayu Patut Malu”. Laporan Asuki Abas tentang ucapan bekas perdana menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad tentang sikap orang Melayu hari ini. Menurut laporan itu, orang Melayu patut berasa malu dengan keistimewaan yang diberikan oleh kerajaan kepada mereka termasuk tanah rizab Melayu kerana ia menunjukkan mereka masih lemah dan perlu dilindungi.

Saya tanyakan pendapat orang tua itu, yang mahu dipanggil “Usof” sahaja. Dia memberitahu nama penuhnya tapi katanya seperti dia mahu bergurau, “Panggil saya Usof sudah. Pakcik Usof pun tak apa. Abang Usof lagi baik,” Tajuk besar pagi itu mengikat kami dalam bualan kosong yang baginya seperti melepaskan apa yang terluah dalam hati ini. Katanya, “Saya setuju pandangan Mahathir tapi saya nak malu macam mana kalau keadaan kita macam ini.”  Mat menuding ibu jari kanannya kepada dadanya. Suaranya sedikit tinggi.

Ternyata Usof tidak sepenuhnya setuju dengan pendapat bekas perdana menteri itu. “Kita kena tanya orang Melayu yang macam mana patut malu. Kita ada berjuta orang Melayu. Yang miskin, yang kaya, yang cerdik, yang tak pandai, yang hidup melarat dan macam-macam. Saya tanya awak, orang Melayu yang mana satu yang patut malu?”

Saya tidak menjawab. Semakin tak sabar saya mahu mendengar pendapatnya. Mengapa diungkit tanah rizab Melayu dan hak istimewa? Dia seperti mempersoal kebijaksanaan mengungkit perkara-perkara berkenaan. Dia bercerita tentang dirinya yang saya rasa menarik untuk dicatat.

Usof berasal dari Melaka, Usianya menjangkau 70 tahun. Sudah punya cucu. Pernah mengadu nasib di Singapura dan pernah menjadi Konstabel Khas (SC = Special Constable). Juga pernah bertugas dalam tentera di Changi. Oleh kerana tidak memunyai pendidikan tinggi, setakat lulus darjah tiga sekolah Melayu, bidang kerjaya yang layak dia ceburi hanyalah drebar. Dia pun menjadi drebar kepada seorang tauke Cina, berulang alik ke Singapura sebagai memenuhi permintaan taukenya itu.

Sebelah malamnya Usof menjadi jaga sekolah. Maka siang dia drebar dan malam dia jaga. Bila masa dia tidur dan bersama keluarga hanya pandai-pandai dia mencuri waktu. Menurutnya dia menerima sijil penghargaan setelah bertugas di Singapura dan sebagai  Konstabel Khas. Sebagai bekas anggota angkatan bersenjata dia cuba memohon lesen taksi. “jenuh juga menunggu tapi menunggu sajalah sampai sekarang,” katanya. “Dah bertahun-tahun tapi tak ada rezeki.”

Sesekali berhenti bercakap dia akan menghisap paipnya dan menghembuskan asap, berkepul-kepul ke udara. Bunyi sedutan begitu jelas dan ada ketikanya dia akan menyumbat tembakau dengan menekan-nekan laiter di mulut paip. Tiba-tiba dengan suara garang dia berkata, “Saya malu dengan keadaan saya ini. Dah bekerja siang malam, dah minta rezeki yang lebih baik tapi  saya tak dapat beri cukup kepada keluarga saya. Masih merempat. Tapi saya tak malu kerana saya ada tanah di kampung, ada dusun walaupun tanah itu tanah rizab.”

Dia menjelaskan suatu waktu orang tua dan saudara-saudaranya yang tinggal di Melaka mempunyai tanah sawah di bandar Melaka. Semuanya sudah dijual, malah sekeping tanah berhadapan dengan perkuburan Cina kepunyaan iparnya kini telah terlepas milik dijadikan kawasan perumahan. Seorang pemaju Cina mendirikan rumah teres untuk dijual melalui perjanjian iparnya akan diperuntukkan dua ruamah teres. Katanya, “Saya tak tahu hendak dikata malu atau tidak kalau tanah itu akhirnya bertukar milik apabila ipar saya itu dibayar dengan hanya dua buah rumah teres.”

Mesej yang ingin disampaikan Usof melalui cerita iparnya ini ialah kehidupan yang tidak seberapa yang dilaluinya mendesak dia menjual tanahnya. Usof mahu orang Melayu bertanya sendiri berapa banyak tanah milik orang Melayu yang bukan tanah rizab yang telah terlepas tangan. Katanya lagi, “Kalau sekatan seperti tanah rizab tak ada, saya rasa semakin lama lebih ramai orang Melayu tak bertanah.”

Bualan Usof  pagi itu seperti menyetujui pandangan bekas perdana menteri, iaitu tanah rizab Melayu memalukan orang Melayu kerana ia menunjukkan “kita masih lemah, tidak boleh bersaing dan perlu dilindungi.” Banyak kali Usof angguk setuju setiap kali dia baca laporan akhbar itu. “Beginilah, berapa banyakkah orang Melayu yang sudah boleh bersaing dan tidak perlu lagi dilindungi. Orang Melayu seperti saya yang minta lesen taksi tak dapat-dapat sedangkan saya ada pengalaman, bekas tentera pula?” soalnya.

Secara tersiratnya Usof mahu menanyakan salah siapa jika orang Melayu masih lemah dan gagal bersaing. Jika kita menoleh sejarah bangsa Melayu, nescaya jawapannya ada di situ. Sebelum dijajah lebih 400 tahun dahulu orang Melayu tidak pernah berdepan dengan persaingan kerana kehidupan tani dan sikap feuadalistik. Ketika dijajah cara hidup tidak banyak berubah, Melayu tetap dengan kehidupan lama, bertani dan berkerja di bawah penguasa (kerajaan). Baru hanya setelah berlakunya Peristiwa berdarah 13 Mei pihak berkuasa mengambil tindakan serius cuba mengubah daripada cara hidup bertani kepada cara hidup berniaga atau yang ada kaitannya dengan ekonomi melalui dasar ekonomi baru. Tujuannya semua orang sudah maklum. Diharapkan dalam tempoh dua dekad sasaran Dasar Ekonomi Baru akan tercapai. Meningkatkan taraf hidup orang Melayu dan Bumiputra dengan 30% ekuiti Melayu.

Kata Usof, “Saya tak pandai kira-kira. Tapi boleh ke kita berubah perangai dalam 20 tahun. Kita merdeka belum sampai 50 tahun. Otak kita otak  500 tahun dulu. Nak berubah bukan senang. Apa lagi nak buat kerja yang lain dari yang kita tahu.” Kata-kata Usof mengingatkan saya tentang sejarah Amerika Syarikat sendiri. Selepas hampir 100 merdeka, iaitu pada tahun 1861, Amerika Syarikat masih lagi mengalami perang saudara. Presiden Abraham Lincoln  terpaksa meminta lebih banyak kuasa untuk membasmi sistem perhambaan di wilayah selatan negeri itu. Perang meletus antara tentera Union dengan Confederates.

Oleh itu, jika bangsa yang kononnya juara demokrasi itu mengambil masa ratusan tahun untuk menjadikan rakyat seperti yang ada hari ini, apalah 20 tahun untuk orang Melayu mengubah sikap dan mentalitinya sudah cukup untuk menjadikannya berasa malu untuk memilik tanah rizab dan hak istimewa? Mengubah sikap bukan mudah dan ia memerlukan tempoh yang lama. Ia sebenarnya seperti cuba mengubah orang Cina yang tradisinya bergiat dalam bidang perniagaan menjadi anggota keselamatan.
Usof kata dia tidak malu memiliki tanah di bawah rizab Melayu kerana kalau saya nak jual pun saya jual kepada orang Melayu. “Selagi anak-anak saya belum berjaya hanya tanah inilah saya kekuatan saya. Saya hanya malu kerana harga tanah rizab kita tidak setinggi harga tanah lain. Sepatutnya orang yang menentukan harga begitu patut malu. Lagi pun kita nak bersaing dengan apa. Makan pun kadang-kadang ala kadar sahaja. Tunggulah mungkin cicit saya nanti boleh buat itu semua,” katanya di akhir perbualan. 













 
 


  

Friday, 25 August 2017

YAHAYA ISMAIL : MENGAPA KITA TUBUHKAN BADAN BERTINDAK BAHASA MELAYU

Pakya dengan paip kesayangannya
Pakya ketika di temu bual di rumahnya di 
Kg. Tunku, Petaling Jaya
Buku yang memuatkan artikel tentang Yahaya Ismail 


Pada pendapat, selepas 50 tahun merdeka, bahasa Melayu memang ada peningkatannya. Daripada segi sistem pendidikan, ketika di zaman kolonial British dahulu, paling tinggi kita hanya ada Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim. Dengan kelulusan itu, kita menjadi cikgu, mata-mata atau pun peon. Dan atas segala macam sebab British memang tidak menggalakkan penggunaan bahasa Melayu di pengajian tiggi.

Setelah kita merdeka, Tun Razak dengan kesedaran Kemelayuan yang kuat, melahirkan Penyata Razak tahun 1956. Itulah yang menjadi asas kepada sistem pendidikan kebangsaan di mana bahasa Melayu akan menjadi bahasa pengantar dari sekolah rendah sampailah ke universiti. Itulah dasar yang telah ditetapkan kerajaan di bawah pimpinan Tun Razak. Memang baik!

Selepas itu, barulah ada komiti lain untuk memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Kalau saya tak silap, Tun Syed Nasir dan Tun Mahathir Mohamad, termasuklah dalam komiti yang ditubuhkan. Mereka inilah yang memberi ruang baru kepada petuturan bahasa Melayu di peringkat universiti dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai pemula. Jadi, daripada segi itu, bagus!

Dalam Perlembagaan ada disebutkan bahawa 10 tahun selepas merdeka, bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ialah bahasa Melayu, iaitu pada tahun 1967. Tetai ternyata semacam ada tentangan daripada pihak-pihak yang anti bahasa Melayu. Dengan adanya penentangan inilah yang menimbulkan kesedaran kami untuk mewujudkan Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan. Tujuannya adalah untuk memperjuangkan Fasal 152. Perlembagaan Negara, iaitu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan yang tunggal 10 tahun selepas merdeka. Kerajaan tidak tidak boleh berganjak.

Bagaimanapun, proses perkembangan politik di Malaysia ini selepas Tun Razak dan Tun Hussein Onn memperlihatkan peranan yang dimainkan oleh bahasa Melayu menjadi semakin malap. Kerajaan ada meluluskan Akta Bahasa Kebangsaan pada tahun 1967. Nampaknya ada usaha untuk mendaulatkan bahasa Melayu itu sebagai bahasa pengantar dan juga bahasa dalam pentadbiran negara. Akta itu kita boleh terimalah. Rakyat menganggap, “ Wah, ini sudah bagus!” Ertinya sudah ada nilai ekonomi yang diberikan kepada bahasa Melayu

Maka, dalam surat-menyurat pun, semuanya dibuat dalam bahasa Melayu. Pada pandapat saya telah timbul apa yang kita panggil, nationalisme linguistik. Ertinya, ada rasa kebangsaan daripada segi bahasa. Jadi, bahasa itu sudah menjadi satu kekuatan politik, satu isu politik yang dijiwai oleh UMNO yang memerintah dan juga pihak-pihak lain yang dianggap sebagai pembangkang. Memang ada. Malangnya, pada zaman kerajaan dipimpin Tun Mahathir, berlaku sedikit anjakan. Tun Mahathir mahu orang Melayu, terutamanya mesti cepat berubah dalam cara berfikir dan tidak hanya menyerah kepada nasib dan lain-lain. Ini bererti mesti ada ‘ mental change ’ atau revolusi mental dalam kalangan orang Melayu.

Dengan hal yang demikian, ilmu menjadi perkara penting. Tun Mahathir juga lebih menekankan soal ekonomi. Timbullah konsep pandang ke timur, sebagai satu usaha untuk menyedarkan rakyat Malaysia khususnya orang Melayu bahawa kita ini mesti cepat berubah dan berjiwa dinamik. Jangan menyerah segala-gala kepada kerajaan. Dan Tun Mahathir nampaknya tidak mahu menggalakkan mentaliti subsidi dalam kalangan orang Melayu. Ini yang kita nampak dari segi kepimpinan Tun Mahathir selama 22 tahun. Dalam proses untuk memajukan ataupun memodenisasikan negara dan juga masyarakat, Tun Mahathir sudah melakukan suatu tindakan yang mungkin dianggap oleh kebanyakan orang Melayu, sebagai merugikan orang Melayu, iaitu Tun Mahathir menekankan pentingnya sains dan teknologi. Tun Mahathir juga menekankan soal perindustrian. Memang bagus, tetapi sepatutnya janganlah sampai mengorbankan orang Melayu.

Misalnya, apa yang Tun Mahathir perkenalkan sekarang, mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Bukannya kita benci bahasa Inggeris. Tidak! Tapi, cuba kita lihat Negera Jepun, Korea, Mereka maju, tetapi rakyatnya rata-rata tidak tahu bahasa Inggeris. Bukan semua rakyatnya tahu bahasa Inggeris tetapi negara itu tidak memajukan bahasa itu. Mereka memajukan bahasa Jepun atau bahasa Korea. Buku yang diterbitkan di Amerika baru dua bulan sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun atau bahasa Korea. Orang Korea dan orang Jepun tidak perlu mempelajari bahasa Inggeris tetapi mereka berjaya menguasai ilmu. Ini yang penting.

Malangnya, kita ini tidak. Tun Mahathir mahu orang Melayu maju, terutama sekali dari segi ilmu pengetahuan. Tetapi buku dalam bahasa Melayu tidak ada. Mahu tidak mahu, kita mesti menggunakan buku bahasa Inggeris. Mahu tidak mahu, kita kena menguasai bahasa Inggeris. Tun Mahathir hendak orang Melayu cepat maju. Tidak mahu tunggu sehingga semua buku ditulis dalam bahasa Melayu, baru kita hendak melahirkan doktor, jurutera dan lain-lain. Sebagai pemimpin, Tun Mahathir berhak berbuat demikian tetapi malangnya orang-orang lain yang diberi amanah untuk memajukan bahasa Melayu dan mendapat pendidikan melalui bahasa Melayu tidak mengikuti perkembangan seperti halnya para pemimpin negara.

Maka tempanglah penggunaan bahasa Melayu ini. Akhirnya, hari ini orang-orang yang hanya belajar menguasai bahasa Melayu mendapati mereka tidak mempunyai tempat. Nilai kemanusiaan sudah tidak ada. Sekarang ini, kebanyakan yang menjadi penganggur terdiri daripada mereka yang mengambil jurusan Pengajian Melayu, Pengajian Media atau Pengajian Islam dan lain-lain. Lowongan untuk mendapatkan pekerjaan terbatas sekali. Yang jadi mangsa sekarang ialah orang Melayu. (Petikan temu bual dengan Yahaya Ismail pada 14 November 2007. Temu bual diadakan di kediamannya di Kg. Tunku, Petalng Jaya.)


YAHAYA ISMAIL DENGAN BUKU POLITIKNYA YANG SAYA KENAL

Yahaya Ismail yang tak lekang dengan paipnya

Dalam buku ini terkandung artikel tentang Pakya
dengan kegiatan penulisannya

Pakya ketika saya temui beberapa tahun lalu
mendengar buah fikirnya tentang kemajuan
bahasa Melayu setelah 50 tahun merdeka. Sembang bual ini
diadakan di rumahnya di Kg Tunku, Petaling Jaya

Tidak ingat, bila kali terakhir saya menemui Yahaya Ismail atau berbual dengannya. Yahaya sibuk sakan, maklum seorang sasterawan dan kini penulis buku politik sepertinya perlu berada dalam keadaan peka dengan dunia sekelilingnya. Yahaya juga seorang tokoh besar kesusasteraan suatu ketika dulu dengan karya-karyanya sering mengundang kontraversi dan polimik. Satu Khamis (beberapa bulan sebelum buku Sembang Sastera ini terbit), Yahaya menelfon. Suaranya masih seperti biasa dengan dialek Kedah campur Indonesia yang semakin membekas sebagai identiti dirinya. Dan seperti biasa setiap kali memulakan bicara, baik ketika bertemu mahupun ketika bercakap melalui telefon Yahaya akan bertanya, “Apa ada cerita baru?”

Dengan suara tinggi seperti biasa, Yahaya akan bercakap yang diselang dengan ketawa. Kadang-kadang kata-katanya melucukan juga dan kami sama-sama ketawa panjang. Pagi itu entah apa mimpinya Yahaya telefon. Barangkali dia menerima kad raya dari saya yang turut memaparkan sebuah gambar lamanya. Atau memang sudah lama sangat kami saling tidak berhubungan.

Seperti biasa topik yang dibincangkan tidak lari daripada kegiatan penulisan, persatuan penulis, terutama Pena dan Gapena. Yahaya pun pernah memimpin Pena satu ketika pada tahun 1980an dan dia dilabel cuba menyeret persatuan penulis nasional itu masuk ke kancah politik. Kebetulan UMNO ketika itu sedang berdepan dengan Parti Semangat 46 pimpina Tengku Razaleigh Hamzah. Ada sesetengah kalangan dalam UMNO yang mendakwa Yahaya sedang mendekatkan Pena ke Parti Semangat 46.

Dalam perbualan pagi khamis itu, Yahaya masih juga prejudis terhadap kegiatan Gapena di bawah pimpinan Tan Sri Ismail Hussein. Baginya, Gapena masih lagi seperti dulu, mencari Melayu yang tak habis-habis. Ismail yang kebetulan berada di Sibolga ketika ini mengundang pertanyaan Yahaya. “Buat apa Ismail ke sana?” Seolah-olah Yahaya ingin bertanya, “Bukankah daerah Siobolga itu daerah Batak. Apakah orang Batak itu orang Melayu?” Seolah-olah Yahaya mahu memberitahu Ismail bahawa orang Batak dengan orang Melayu di Sumatera Utara masih mempunyai masalah hubungan akibat sengketa tanah dan daerah.

Satu kesimpulan dapat ditarik daripada pertanyaan Yahaya, iaitu selagi persatuan penulis yang bergabung dalam Gapena dipimpin oleh orang-orang yang sama sejak puluhan tahun lalu, tidak mungkin akan berlaku perubahan dalam pucuk pimpinan Gapena, dan seterusnya dalam dasar dan kegiatannya. Yahaya seperti mahu melihat Gapena mencari dasar baru yang boleh menjadikan Gapena lebih bererti kepada masyarakat penulis daripada hanya menumpukan perhatian kepada kegiatan “mencari Melayu”nya.

“Pada saya, yang penting Gapena berperanan aktif menjaga kepentingan penulis dan melibatkan diri dalam isu-isu yang mempunyai kepentingan nasional, walaupun tidak semestinya politik,” katanya. Tafsiran yang boleh dibuat daripada cara berfikir Yahaya ialah Gapena, sebagai induk persatuan penulis seluruh Malaysia perlu melihat ke dalam; melihat masalah akar umbi Melayu Malaysia, terutama penulis-penulisnya. Masih banyak masalah yang perlu diberikan perhatian. Misalnya, masalah royalti dan cara berurusan dengan penerbit; masalah Dewan Bahasa dan Pustaka yang tetap sahaja dengan isu lapuk buku tak lakunya dan pengurusannya; masalah beberapa persatuan penulis yang khabarnya mengalami krisis kepimpinan.

Tafsiran ini ada juga benarnya. Bukan menjadi rahsia lagi ada persatuan penulis yang tidak berlaku adil kepada ahli-ahli penulisnya, terutama yang tidak sebulu dengan pucuk pimpinan. Ada persatuan yang jumlah ahlinya tidak bertambah langsung sejak mula ditubuhkan. Ada pula negeri yang diwakili empat persatuan dalam kerabat Gapena. Pada hal negeri itu adalah antara yang terkecil jumlah penduduk mahupun luas wilayahnya. Lebih menarik ada persatuan yang barisan pemimpinnya tidak pernah bertukar sejak ditubuhkan.

Betul juga! Pernah seorang ahli seumur hidup Pena bertanya, “Mana ada persatuan penulis yang sejak tahun 1970an sudah membuat pertukaran pemimpin silih berganti melalui proses pemilihan. Setahu saya cuma Pena sahaja. Kita tahu Pena mempunyai ketua yang bertukar ganti. Dari Usman Awangnya, Mohd Nor Azamnya, Adam Kadirnya, Baha Zainya, Maarof Saadnya, Yahaya Ismailnya dan kini Ahamd Sebinya.”

Selain Pena barangkali Persatuan Penulis Johor (PPJ) juga adakalanya bertukar pemimpin. PPJ pernah dipimpin beberapa tokoh penulis antaranya Ismail Zamzam, Mas’ud Abd Rahman (allahyarham) dan Shukor Ismail. Kecuali Pena dan PPJ ada satu dua persatuan penulis lain yang berbuat begitu. Namun hendak kita salahkan persatuan-persatuan lain kerana tidak bertukar pemimpin, tidak boleh juga. Ada persatuan yang ahli-ahlinya enggan dipilih menerajui kepimpinannya sehingga pemimpin yang ada terus diminta mengekalkan jawatannya. Alasan yang diberikan lebih bersifat peribadi. Ada yang terlalu terlalu sibuk dan masa untuk menumpukan perhatian kepada persatuan terlalu kurang. Kemudian ada juga ahli-ahli persatuan yang tidak mahu mengganggu status quo kepimpinan yang ada kerana khuatir kegiatan persatuan akan tergugat. Atas alasan ini maka ada persatuan yang tetap dipimpin oleh tokoh-tokoh yang sama sejak dulu sampai sekarang.

Di sinilah letak persoalan mengapa Ismail perlu memberikan perhatian kepada masalah dalaman. Kata seorang penulis, “Tan Sri boleh sahaja mencari Melayu di luar negeri tapi berikan tumpuan lebih kepada masalah persatuan, terutama mencari jalan mengubah minda ahli-ahli persatuan di tiap-tiap negeri supaya lebih pro-aktif dalam persatuan. Bagaimana kalau Gapena merancang lebih banyak kegiatan yang berkait dengan latihan atau seminar perubahan minda ahli. Kurangkan sedikit kegiatan memberi kursus sastera, seperti bagaimana mahu menulis sajak, cerpen, lulus peperiksaan dalam kertas sastera atau sebagainya.”

Di samping Gapena, Yahaya juga berbincang tentang peranan akhbar tabloid yang banyak terdapat di pasaran sekarang. Yahaya sendiri memiliki dan memimpin tabloid “Bebas” sejak beberapa tahun yang lalu. “Alhamdulillah, masih dapat bertahan. Itu pun setelah saya tukar strategi dan pendekatan dalam pemberitaan,” katanya. Yahaya megakui bukan mudah mengekalkan kelangsungan hidup akhbar tabloid, terutama jika tabloid itu cendung untuk menyokong golongan establishment. Kalau seratus peratus menyokong pihak kerajaan atau parti kerajaan, tabloid itu seperti “menempah maut”. Bukan sahaja ia akan terpaksa berdepan dengan akhbar-akhbar arus perdana yang sudah mapan, tetapi juga ia tidak akan dapat merebut audien pembaca yang kesetiaannya telah “melekat” dengan akhbar arus perdana.

Sebaliknya jika tabloid menuruti arus kecenderungan pembangkang secara melulu, ia terpaksa bersaing dengan lenggok dan pendekatan pemberitaan tabloid milik pembangkang. Kecuali tabloid seperti yang dimiliki Yahaya mahu menjadi organ parti pembangkang, tidak mungkin tabloid berkenaan dapat bersaing dengan akhbar dan tabloid pembangkang. Maka satu-satunya jalan yang ada ialah satu formula yang meletakkan tabolid pada kedudukan tidak sepenuhnya berpihak kepada establishment tetapi ada kecenderungan memihak kepada pembangkang dalam pendekatan pemberitaannya. Atau tabloid berkenaan memanfaatkan intirk-intrik dan konflik dalaman yang bergolak dalam parti politik, terutama dalam parti yang memerintah. Kelihatannya tabloid “Bebas” yang dipimpin Yahaya membuat pendekatan ini. Begitu juga dengan beberapa tabloid yang lain seperti “Buletin Utama”dan “Buletin Demokrasi”yang dipimpin Jamaluddin Bakar, bekas eksko Pemuda UMNO.

Yahaya mendapati pendekatan seperti ini merupakan jalan tengah yang dianggapnya banyak mendatangkan manfaat kepada kelangsungan hidup tabloidnya. Tetapi yang menjadikan tabloidnya kembali mendapat tempat dalam pasaran ialah pendekatan pemberitaannya yang lebih pro parti pembangkang. Barangkali Yahaya bertolak daripada sikap umum pembaca yang inginkan berita alternatif selain daripada yang dipaparkan akhbar arus perdana, seperti Utusan Malaysia, New Straits Times, The Star, The Sun, Berita Harian, Nanyang Siang Pau, Sin Chew Jit Poh atau Tamil Nesan. Juga bukan tidak mungkin Yahaya juga menganggap tidak semua orang suka membaca tabloid organ pembangkang kerana pendekatannya yang terlalu prejudis terhadap kerajaan, seperti Harakah, Keadilan dan lain-lain. Masih ramai yang inginkan pendekatan yang neutral dan mendedahkan kelemahan parti-parti politik, baik yang memerintah mahupun yang membangkang. Yahaya mendapatkan formulanya daripada keinginan golongan ini.

Apapun jua, Yahaya yang telah lama meninggalkan dunia kesusasteraannya, kini merupakan orang media yang sentiasa berusaha mencari pendekatan yang terbaik untuk meningkatkan nilai komersial medianya. Perubahan dalam cara berfikir tidak dapat dia elakkan, seperti yang terlihat dalam penerbitan tabloid “Bebas”. Bagi sesetengah kalangan, perubahan dalam cara berfikir Yahaya ini adalah kekuatannya. Hal ini amat ketara jika kita menilai karya-karyanya sejak mula dia menulis buku berunsur politik, seawal tahun-tahun 1980an dahulu.

Sesiapa sahaja yang membaca buku-buku politiknya nescaya akan mendapati cara berfikir Yahaya yang kritikal berubah-ubah dari satu ekstrim ke satu ekstrim yang lain. Pada suatu ketika buku Yahaya begitu kritikal terhadap tokoh-tokoh tertentu dalam parti kerajaan dan ada ketikanya pula bukunya memuji sakan tokoh-tokoh yang sama. Katanya, “Tunggulah buku baru saya yang bakal terbit Januari tahun depan. Mesti meledak.” Apabila ditanya apakah buku itu nanti pro atau anti establishment jawabnya, “You tunggulah.” Kelihatannya hanya dengan Gapena sikap Yahaya tak banyak berubah. 

(Beberapa hari yang lalu saya telah menulis serba ringkas dalam FB tentang jalinan persahabatan saya dengan Yahaya Ismail yang saya panggil Pakya sejak mula saya mengenalinya pada tahun 1970'an dahulu. Dalam buku saya Sembang Sastera yang diterbitkan oleh Penerbit Fajar Bakti kira-kira 20 tahun yang lampau ada saya menulis tentang Pakya dalam satu artikel panjang. Pakya adalah di antara hampir 70 tokoh sastera domestik dan antarabangsa yang menghiasi buku itu. Malah dalam artikel tentang Pakya itu saya memberikan pengkhususan kepada tabloid politik yang diterbitkan Pakya yang mendapat sambutan baik dari kalangan publik pembaca di samping berpuluh buah buku politiknya. Sekarang Pakya tetap vokal mengulas tentang keadaan politik semasa. Dan Pakya kelihatan bersikap non-partisan dalam perjuangannya "mencari kebenaran" menurut kacamata dan persepsinya sendiri.)



Monday, 21 August 2017

MA'AROF SAAD KATA "BUDAYA JEPUN DISIPLINKAN DIRI KAWAN KARIBNYA"



Ma'arof Saad pernah mengulas tentang
sahabatnya terutama polemiknya
dengan Yahaya Ismail dalam  
dalam akhbar tempatan

Kerjaya seorang sahabat yang dikenali
Ma'arof sejak tahun 1972

Antologi Esei buku seorang
sahabat karibnya terbitan DBP

Karya kawan karib berdasarkan tesis kesarjanaan 
DALAM tahun-tahun 1970-an cerpennya kerap ditemui dalam
Mingguan Malaysia dan Utusan Zaman. Wadah yang menampung
karya kreatifnya dewasa itu semacam tidak ada pilihan
lain, selain Mingguan Malaysia dan Utusan Zaman. Seakan-akan memberi
petanda; oleh sebab Utusan Melayu pernah menyebarkan konsep
“Seni Untuk Masyarakat” supaya menjadi pegangan sasterawan melalui
polemik yang ditangani oleh Keris Mas dan Usman Awang (kebetulan
kedua-duanya ketika itu bekerja di Utusan Melayu), maka A.F.
Yassin begitu yakin peranan Utusan Melayu boleh memperkembangkan
kesusasteraan Melayu.

Padahal cerpen sulungnya pernah tersiar di majalah Dian, tetapi
dia tidak pula terus menghantar karyanya ke majalah Dian. Dia pernah
pula bertugas sebagai subeditor dengan Berita Harian, pun Berita
Minggu bukanlah pilihannya yang utama. Mungkin A.F. Yassin mahu
menyembunyikan bakat kreatifnya daripada A. Samad Said, sebab dia
di bawah pimpinan bekas editor Berita Harian itu. Justeru, dalam diam-
diam dia menghantar banyak cerpennya ke Utusan Melayu. Siapa
tahu?

Sepuluh tahun kemudian A.F. Yassin mengendalikan Dewan Ma-
syarakat di bawah tunjuk ajar M. Noor Azam. Banyak pula tulisannya
ditemui dalam Dewan Masyarakat. Kerap disentuhnya hak-hak tentang
politik dan sosial. Sesekali tentang ekonomi. Selama bertugas sebagai
editor Dewan Masyarakat, dia banyak membuat perubahan dalam
format persembahan bersama ketua editornya, M. Noor Azam. Yang
paling ketara merubah pendekatan penulisan artikel kepada yang lebih
current dan topical sifatnya, tetapi dia tidak sampai menanggalkan ruang
cerpen dan sajak daripada Dewan Masyarakat.

Mungkin pada fi kirannya audiens sastera boleh juga menambahkan
naskhah jualan Dewan Masyarakat atau selagi Dewan Masyarakat tidak
mampu mengikut rentak keluaran Tempo pada tiap-tiap minggu,
maka ruangan cerpen dan sajak perlu dikekalkan. Apatah lagi memikirkan
antara fungsi Dewan Bahasa dan Pustaka turut memperkembangkan
dan membina kesusasteraan. Anehnya lagi, tidak sebuah pun
cerpennya tersiar dalam Dewan Masyarakat. Dia lebih betah menghantar
cerpennya untuk diterbitkan dalam Dewan Sastera. Begitu disiplin
pemikiran dan peribadi yang ada pada diri A.F. Yassin atau nama
penuhnya Ahmad Fadzil Yassin.

Hari Krismas tahun 1944 adalah hari kelahirannya. Apabila Jepun
menyerah kalah pada September 1945 yang menamatkan Perang Dunia
Kedua, tempat kelahirannya di Kampung Gadong, Kota, Negeri Sembilan
tidak ditemui lagi Jepun berkeliaran. Sisa kemelesetan ekonomi
selepas perang tidak pula membantutkan pendidikannya di Sekolah
Melayu Kota. Kemudian menyambung pelajaran di Sekolah Menengah
Tunku Besar Tampin sehingga Senior Cambridge. Meng-ambil Higher
School Certifi cate di English College, Johor Bahru. Kini, dia adalah
seorang sarjana dalam bidang ilmu komunikasi, setelah menerima
ijazah sarjana jurusan kewartawanan di Universiti Padja-djaran, Bandung.
Dia juga bekas pelajar Institut Teknologi MARA, Shah Alam, Selangor.
Bintang Terang

Dalam bidang kerjaya, dia mula bekerja sebagai guru sementara di
Tamil Primary School, Tampin dan Astana Raja English School, Kota,
Negeri Sembilan pada tahun 1963. Setahun kemudian berkhidmat
pula sebagai Penyelia Teknik dengan Syarikat Textile Corporation (M)
Limited di Johor Bahru. Dia berkesempatan mengikuti kursus lanju-
tan teknikal dalam bidang tekstil di Nagoya, Jepun selama enam bulan
pada tahun 1969.

Mulalah A.F. Yassin memasuki budaya kerja Jepun. Waktu kerja tidak
boleh beriseng-isengan. Mesti tekun dan bijaksana menimba ilmu.
Selepas kerja barulah dia terangsang melepaskan stres dengan mengunjungi
tempat minum dan makan di samping berhibur. Pulang ke
penginapan baginya untuk tidur sahaja tanpa ada kegiatan lain.
Sekembali dari Jepun dia dinaikkan ke jawatan Jurulatih Teknik
Tekstil, tetapi jiwanya selalu berontak. Seorang yang berpendidikan
aliran sains tiba-tiba amat berminat dalam penulisan kreatif. Justeru,
dia melamar kerja dengan Berita Harian. Tidak lama kemudian berpindah
pula ke Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai pembantu sastera. Mulalah
dia menakah ke jawatan editor dan bintangnya terang, sewaktu
berkhidmat di DBP dia dapat melanjutkan pelajaran di Bandung.

Kini, dia sebagai aktivis budaya di Penerbit Fajar Bakti. Memulakan
tradisi baharu dengan menerbitkan karya-karya sastera umum seperti
novel, cerpen, puisi dan drama yang ditulis oleh Sasterawan Negara
seperti Shahnon Ahmad, Keris Mas, A. Samad Said dan Usman Awang.
Novel pertama yang dirintisnya ialah Tok Guru karya Shahnon Ahmad
(1988). Sebelum itu dia telah mendapatkan hak izin terbit untuk
menerbitkan semula Keluarga Gerilya karya Promoedya Ananta Toer
(1988). Sebagai penulis kreatif dan non-kreatif di samping kerjayanya
sebagai orang kanan dalam bidang pengurusan di Penerbit Fajar Bakti,
dia sering bertindak seperti ‘menarik rambut dalam tepung’ untuk
memenuhi aspirasi penulis.

Sehingga kini A.F. Yassin telah pun berjaya menghasilkan antologi cerpen
Nyiur Bertuah Nyiur Celaka (1981) dan Kuala Lumpur (1986). Ada
juga cerpen-cerpennya yang diantologikan secara bersama yang berjudul
Suatu Subuh yang Bening, Dongeng Merdeka, Alun Menggulung
Perlahan, Titisan Indah di Bumi Merkah dan Angin Pulau.
Tesis kesarjanaannya tentang etika kewartawanan diolah kembali
dalam bentuk buku dan diterbitkan pada tahun 1986 dengan judul
Etika dan Wartawan. Dalam bidang puisi, dua puisinya Rhine di Satu
Senja dan Sewaktu-waktu telah diantologikan secara bersama dalam
sebuah buku yang berjudul Permatang Budi (1991). Puisi Rhine di Satu
Senja pernah meraih Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank.

Akhir-akhir ini kita tidak menemui lagi karya kreatif A.F. Yassin, rupa -rupanya
dalam senyap-senyap dia sedang menulis novel pula.
“Entah bila siapnya,” katanya separuh yakin. Mungkin kesibukan
yang menghalang proses kreatifnya. Dia pernah menganggotai panel
hakim Hadiah Buku Kebangsaan (1989-91) atas lantikan Majlis Kemajuan
Buku Kebangsaan (MKBK), Kementerian Pendidikan Malaysia.
Sejak dari 1989, A.F. Yassin dilantik sebagai anggota panel penasihat
Kursus Diploma Sebaran Am (penerbitan) oleh Kajian Seabaran Am,
Institut teknologi MARA, Shah Alam, Selangor  -  Oleh Ma'arof Saad

(Dipetik dari buku Memoir A.F.Yassin 2 Menuju Pelabuhan Waktu yang sedang dalam penyelenggaraan.)

Saturday, 19 August 2017

JOM OLE-OLE BANDUNG SAMA DOLLAH DAN BAHARI RAHMAN


Bahari Abd Rahman (kanan) bersama Abdullah Abd Rahman (tengah)
dan Ahmad Fadzil Yassin
 
Dua beradik Abdullah Abd Rahman (kanan) dan Bahari Abd Rahman
di pejabat Abdollah di Taman Sri Rampai, KL
.
Abdullah Abd Rahman bersama buku Negeri Yang Sembilan
karangan Nurhalim Hj Ibrahim

Dua beradik dari Ulu Gadong ini sentiasa berdua ke mana mereka berada.
Ketika ini ereka berada di Eon Mall Rawang  sedang ngeteh

Ini bukan lagu perjuangan rakyat Indonesia yang menentang Belanda
sebelum merdeka. Bagi mereka yang mengingati senikata
lagu Ole-Ole Bandung tentu sederap dalam hati nukilan perjuangan
yang sehingga ke hari ini belum selesai-selesai. Namun tajuk Ole-Ole
Bandung ini sekadar melampiaskan curahan rasa ketika berkunjung
ke negara jiran itu selama seminggu mulai 11 januari 2012 yang lalu.
Makna kata Ole-Ole Bandung kali ini adalah manifestasi nostalgik kami
anggota rombongan yang berkesempatan beriadah ke negara jiran yang
hampir 90% berbudaya sama walaupun dibilang orang tak serupa.
Anggota rombongan, enam orang semuanya terdiri daripada satu
keluarga berempat dan diiringi dua teman sewarih tetapi menetap di
Kuala Lumpur. Merekaialah Tuan Haji Abdullah Abd. Rahman dan adik
kandungnya, Bahari. Abdullah orang kuat di masjid Taman Sri Rampai,
Setapak Jaya manakala Bahari pesara kerajaan yang suatu ketika aktif
dalam pertubuhan belia.

Pun beliau bertugas dengan kementerian yang
berkait erat dengan komuniti belia. Hanya disayangkan Abdullah dan
Bahari sempat empat hari bersama kami kerana sibuknya barangkali di
taah air. Kurang pasti sama ada adik-abang ini puas hati dengan kunjungan
singkat empat hari di Bandung dan Jakarta. Tujuan utama ke
negara jiran itu adalah untuk memenuhi hajat ibu, Minah Wahab, untuk
berziarah ke makam Wali Songo Gunung Jati yang terletak di Cire-
bon. Sudah lama ibu menyuarakan hajatnya sejak kami menyebutnya
pada tahun 2009.

Ketika itu ada rombongan keluarga seramai 12 orang ke Bandung
namun atas sebab kesibukan waktu hajat ini tidak dapat dipenuhi. Namun
rezeki menyebelahi ibu dan Ahamdulillah hajat ini berhasil disempurnakan
pada Ahad, 15 Januari 2012. Mess Departemen Mineral dan
Energi Indonesia Bandung tempat penginapan anggota rombongan
sepanjang kunjungan ke Bandung 11-17 Januari 2012. Bagi Abdullah
dan Bahari kunjungan bersama ke Jakarta dua hari sebelumnya harap
menjadi kenangan manis selama berada di negara jiran itu. Sejak pagi
lagi kami berenam (didampingi empat anggota keluarga kami) bergerak
ke Jakarta melalui kunjungan awal ke Tangkuban Perahu dan Taman
Safari di Cisarua, Bogor. Kurang pasti apakah Abdullah dan Bahari sudah
pernah berkunjung ke Tangkuban Perahu dan Taman Safari.

Menurut info dari Bahari sendiri, beliau sempat berkunjung ke
Safari tetapi tidak masuk ke taman. Abdullah tidak pula menyatakan
apa-apa barangkali dia belum jejakkan kaki ke taman berkenaan.
Bagaimanapun ke Tangkuban perahu sudah mereka kunjungi. Kunjungan
ke Tangkuban Perahu pagi itu diiringi awan mendung dan hujan
renyai sekejap-sekejap. Akibatnya Ibu terpaksa berada dalam kenderaan
sepanjang berada di atas gunung yang setinggi lebih lima ribu
kaki dari paras laut itu. Dalam beberapa minit sahaja dua adik-abang
ini sudah hilang dari pandangan, barangkali pula mereka mencari ketenangan
di pagi hening begitu. Ketika muncul semula setengah jam
kemudian mereka bercanda mengatakan berada di warong kopi “lagi
nungguin jagung bakar dan kopi susunya.” Bila saya tanya enak nggak,
Abdullah menjawab, “kureeeng..”

Ada mitos di sebalik keindahan wisata alam Tangkuban perahu. Lagenda
mulut ke mulut berbicara tentang kisah cinta anak muda yang
berahikan ibunya yang cantik menawan. Kisah cinta anak kepada ibu
ini menyamai cinta inses yang terlarang. Namun cinta tetap cint biarpun
apa hubungannya sesama keluarga atau famili. Disebabkan terlalu
asyik dan mahsyuknya dua insan dalam bercinta, walaupun sang ibu
menasihatkan anak kandungnya tentang larangan Tuhan yang maha
Esa, namun anak, yang sudah dalam “kebutaan cinta” mahu terus
mengharapkan agar ibunya mengecualikan konsep”nahi umgkar” ini.
Akhirnya laknat diturunkan dan terjadilah gempa bumi yang sangat
dahsyat dengan gunung berapi kota Bandung ini meletus. Sebuah
kawah besar terjadi di puncak gunung dan Abdullah mengabadikan citranya
di tebing kawah itu sebagi tanda ingatan akan kebesaran Illahi.

Di Taman Safari di Cisarua, Bogor lain lagi ceritanya. Di Taman ini
margasatwa, berupa haiwan dalam semua jenis lepas bebas di sekitar
taman, malah insan pula yang “terperangkap” dalam kenderaan.
Dengan berbekalkan lobak kuning atau merah insan-insan yang terperengkap
ini cuba memberi makan haiwan ini melalui kaca tingkap
kenderaan. Tapi awas lho, ada yang tidak sejinak yang disangkakan.
Sebabnya setiap haiwan ini ada ragamnya tersendiri untuk mendapatkan
makanan. Contohnya, ada yang “menyengge-nyenggekan giginya
atau muncungnya ke cermin tingkap seperti meminta-minta supaya
lobak itu diberikan kepadanya. Dan ada pula yang seperti tersenyum
apabila menerima lobak. Agaknyalah kerana haiwan ini terus menunjukkan
giginya yang setengah kuning dan setengah putih.
di beberapa kawasan yang berpintu buluh yang buka tutupnya dilakukan
secara automatik, haiwan ganas seperti harimau, singa, badak
sumbu diawasi kakitangan taman yang terus berada dalam keretanya.

Mereka siap dengan senapang pelali andainya terjadi sesuatu yangg
tidak diingin. Oleh kerana hujan maka terjadi sedikit “macet” di sepanjangjalan
yang melewati kawasan penempatan haian ini. Hampir sejam
juga kami dalam taman itu, Ada yang menjerit, ada yang ketawa
dan ada yang simpati melihat haiwan bebas bergerak tetapi sebenarnya
“terjerat” dalam sangkar buatan selebar alam di kawasan Safari ini.
Haiwan-haiwan ini seperti sudah terarah mengamalkan budaya “meminta-
minta” atas keikhlasan sumbangan pengunjung safari. Hanya
sahaja kita tidak melihat komuniti peminta daalam taman ini, seperti
halnya setiap kali kita berada dalam kenderaan yang berhenti di persimpangan
jalan raya menunggu lampu isyarat menyala hijau.

Saya peribadi begitu terasa nostalgia ketika berada di Jalan Sabang,
Jakarta. Di sebuah Hotel yang namanya sempena nama Jalan Sabang
inilah pada satu petang bulan Mac tahun 1976, saya tiba ke Jakarta buat
pertama kalinya dari Kuala Lumpur. Saya disambut dua pegawai dari
Jabatan PelajarMalaysia di Indonesia yang di bawah Kedutaan Besar
Malaysia di Indonesia di lapangan terbang Soekarno Hatta di Kemayuran,
kalau tak silap saya. Seorang pegawai itu, Pak Aziz namanya.
Beliaulah yang menguruskan segala yang menyangkut imigresen dan
kastam. Dan setelah beres saya dibawa ke Hotel Sabang bermalam sebelum
berangkat ke Bandung keesokan harinya.

Malam ini kami akan diraikan dalam satu acara makan malam oleh
dua teman saya bersama keluarganya di Restoran Padang Pemuda, betul-
betul di belakang bangunan Sarinah yang terkenal dengan dua kali
terbakar dan aneka jenis produk batiknya. Dua teman dari Angkatan
1976 Fakultas Publisistik Universitas Padjadjaran Bandung meraikan
rombongan dengan “ala kadar”nya. Ketika kuliah di Unpad, dua teman
ini, Elina Widyastuty dan Irawaty Nasution adalah kelompok belajar
kami seramai 10 orang. Yang lainnya termasuk Yazirwan Uyon, Ariman
Kumerizal Usman,Arnaz, Elvina Hadianto, Immas Sunaryo, Iwan Gimbal
Surod, Deddy Mulyana dan Budiman Sijabat, seorang anak Batak
dari Pulau Semusir yang terletak di tengah-tengah Danau Toba, Medan.

Anggota kumpulan kelompok belajar inilah yang saling membantu
dan saya amat berterima kasih kepada mereka kerana melalui bantuan
mereka, saya keluar menjadi orang pertama yang lulus daripada 154
orang mahasiswa dalam Angkatan 1976 dalam bidang Ilmu Komunikasi.
Itu pada tahun 1980. Hanya malam itu hanya dua orang - Lin dan
Ira - yang sempat hadir. Pun bagi saya mereka berdua melambangkan
solidariti kumpulan dan adalah wakil kelompok belajar Angkatan ‘76
Publisistik, yang kekentalan hubungan masih erat hingga ke hari ini.
Ternyata kemesraan membelai rasa ketika berada di meja makan. Abdullah
dan Bahari, waaupun baru pertama kali bersama hos Lin dan
Ira beserta pasangan meraka, ternyata mampu menyesuaikan diri dan
kami bersurai dua jam kemudian untuk pulang ke Bndung.

Kali in lewat jalan tol berbanding pada siangnya kami mengikuti
jalan biasa, melalui Bandar Cianjur Puncak dan Bogor. Bagi Abdullah
dan Bahari ada nostalgia tersendiri ketika menempuhi jalan ke puncak
ini. Begitu juga saya ada nostalgia saya tersendii apabila pertama kali
menempuh jalan itu dari Sabang Hotel. Untungnya ketika itu saya bersama
satu keluarga suami isteri yang ingin ke Bandung mengunjungi
adiknya, Yunus Mohd Amin, yang sedang selesaikan tesis kesarjanaannya
di Jurusan yang sama di Fakultas Publisistik (kini dipinda nama
menjadi Fakulta Ilmu Komunikasi.

Kami tiba di penginapan kami di Mess Departemen Mineral dan Energi
di Jalan Ganesha berhampirn Masjid Salman dan pintu utama ke
Kampus Institut Teknologi Bandung kira-kira pukul 11.00 malam Wakti
Indonesia Barat. Sehari sebelum berkunjung ke Jakarta kami sempat
membeli belah di Pasar Baru dan di Cibaduyut. Sepanjang hari anggota
rombongan melalkukan apa yang mereka hajatkan. Shopping sakan.
Rombongan dttemani dua kawan lokal, Aep Saefuddin yang turut menjadi
“supir” kami sepanjang tempoh di Bandung dan Mbak Tatty Abbas,
anak ibu angkat kami waktu belajar di Bandung, Ibu Abbas Swarna. Ibu
Abbas adalah salah seorang daripada waris keturunan Wali Songo Gunung
Jati dari Cirebon. Pada sore 12 Januari itu, seusai membeli belah
di Pasar Baru dan Cibaduyut, kami sempat mengunjungi taman rapat
satu angkatan ketika saya menjadi mahasiswa mulai tahun 1976.

Beliau ialah Deddy Mulyana, kini bertugas sebagai Dsksn Ilmu Publisistik
di Univrsitas Padjadjaran, di Jatinangor, sekitar 20 km dari
pusat kota Bandung, arah utara. Dedday kini bergelar guru besar dan
menyandang jawatan Profesor manakala beliau sendiri adalah seorang
Doktor Falsafah dalam bidang Ilmu Komunikasi, Namanya kini Prof.
Dr. Deddy Mulyana dan tinggal di kompleks perumahan Elit Kota
Bandung di Daerah Buah Batu, di selatan Bandung. Beliau baru sahaja
berpindah dari sebuah lagi kompleks peruumahan elit Bandung di Batu
Nunggal sekitar 15 minit perjalanan ke tempat barunya ini. Abdullah
di pekarangan Masjid Salman, Institut Teknologi Bandung (ITB) pada
pagi 13 Januari 2012. Beliau sempat solat Subuh berjemaah di masjid
berkenaan ketika masuk waktu pukul 4.30 pagi waktu Indonesia Barat.
Ketika mengunjungi rumah Prof. Dr. Deddy Mulyana, kami dijamu
dalam satu makan malam dengan masakan “Chinese Food”. Isterinya
Daisy, seorang daripada keturunan China, yang telah memeluk Islam.

Deddy dan Daisy mula bertemu semasa dalam kapal Muhibah Asean-
Japan Friendship tahun 1980-an. Benih cinta bersemi di sini dan mereka
kekal menjadi suami ister hingga ke hari ini dengan dikurniakan
sepasang cahaya mata (seorang lelaki dan seorang perempuan) yang
telah dewasa. Lapangan terbang (bandara) Bandung,Bandara Husein
Sastranegara Bandung pada 14 Januari 2012 ketika menghantar Abdullah
dan Bahari pulang ke Kuala Lumpur pada pukul 12 tengahari. Pada
pagi 14 Januari 2012, Abdullah dan Bahari mohon diri kepada robongan
untu pulang ke KL dengan pesawat Air-Asia pukul 12 tengahari.
Sebelum ke Lapangan Terbang Bandung (Bandara Husein Sastranegara)
kami menemani Abdullah dan Bahari ke Pasar Kosambi di
jalam menuju ke Pasar Cicaheum arah Jatinangor, untuk membeli buah
salak dan poyem (tapai ubi). “Ole-oleh buat orang rumah,” kata Abdullah.

Saya melihat dari kejauhan ketika mereka berdua melintasi mesin
pengawa berhampiran pintu masuk ruang check-in lapangan terbang.
beberapa minit kemudian mereka keluar semula, setelah mendpat izin
dari satpam (pengawal pintu masuk ke ruang check-in) dan kami bertemu
buat beberapa minit di kedai kopi di seberang jalan. Masih ada
waktu gamaknya. Bahari Abd Rahman berbual mesra dengan
suami Elina Widyastuty, Soemarsono ketika makan malam di Jalan Sabang
Jakarta, 13 Januari 2012. Macam dah kenal lama je hehe.... Dan
kami berempat (termasuk supir Aep) “ngopi dulu. Dan saya tak pasti
apakah Bahari ngopi atau ngoteh hehehe....” Kami tidak lagi melihat
mereka sebaik sahaja masuk kembali melalui mesin pengimbas sekali
lagi. Saya bayangkan mereka ke bilik menunggu di tingkat atas bangunan
bersama-sama ratusan penumpang lain yang sama satu jalur ke

(Dipetik dari buku Memoir A.F.Yassin Mnuju Pelabuhan Waktu
yang sedang di peringkat semak halaman).