Emak, Minah Wahab bercerita tentang abah, Yassin Zainal ketika menunaikan Haji ke Mekah bersama ibu saudaranya Mija Jaafar di rumah Rozita di Putrajaya. Sebelum itu emak bercerita tentang Tok Guru Ibrahim Rembau, seorang ulama yang pernah tinggal di Bongek. Ulama ini sama “mengaji" dengan Yassin Zainal di Kelantan dan di Kedah satu
masa dahulu. Salah seorang tokoh ulama yang mengajar mereka mengaji ialah Tok Kenali. Menurut
emak, abah mengaji setahun selepas kedatangan Tok Guru Ibrahim ke Kelantan.
Menurut emak lagi, abah bersama abangnya, Mohd Yatim
Zainal, Lebai Hitam Ali, suami Hajah Zabedah Taha yang beribukan Puteh (anak
angkat Mija (Anjang) dan Harun Lassim dari Mungkal, ayah Badariah Haron, Ulu Gadong telah mengasaskan Madrasah Ulu Gadong. Madrasah ini mulanya didirikan berhampiran Surau Haji Mohd. Yatim di Ulu Gadong, sebelum dipindahkan
ke lokasinya yang ada sekarang. Madrasah ini kemudian diambil oleh Kerajaan dan
dinamakan Sekolah Agama Haji Mohd Yatim, Ulu Gadong.
Haji Mohd Yatim adalah bekas Kadi Rembau, sementara abah
yang menolak tawaran untuk menjadi guru agama Askar Melayu (jawatan yang
kemudian ditawarkan kepada Lebai Hitam) kekal sebagai penceramah bebas dan
untuk menyara hidup bekerja sebagai penoreh getah. Cerita kemudian berpusat kepada pengalaman abah yang
menurut emak banyak mengandungi
episod-episod misteri yang sehingga hari ini masih belum dapat dirungkai. Namun
banyak daripada peristiwa itu turut kami alami sepanjang kami besama dalam satu
keluarga, ketika saya sendiri mengenali abah sejak berumur lima atau enam tahun
(1949).
Salah satu peristiwa misteri itu ialah ketika abah yang masih kecil dibawa Mija (Uwan Anjang) menunaikan haji ke Mekah. Mija ketika adalah isteri kedua Undang Rembau, Dato’ Maharaja Lela Haji Sulong Miah. Mereka suami isteri menetap di Tanah Datar yang lokasinya ke hulu rumah Haji Taha, ayah Mohd Dan, Abdullah dan adik-adiknya. Mija mempunyai seorang anak angkat bernama Puteh. Puteh berkahwin dengan Taha dari Kendong (?). Kurang pasti adakah Puteh telah dipelihara Mija sebelum atau sesudah ke Mekah. Jika pemergian Mija ke Mekah ini dihubungkan dengan niat untuk mendapatkan anak, maka besar kemungkinan Puteh belum diambil untuk dijadikan anak angkat.
Mereka ke Mekah dengan menaiki kapal dari Singapura. Difahamkan oleh kerana pelayaran memakan masa kira-kira dua minggu mereka membawa bekalan yang banyak untuk menampung perjalanan pulang pergi ke Jeddah. Dan oleh kerana Mija isteri seorang pembesar Rembau maka wang dan kemudahan tidak menjadi masalah. Tidak ada halangan atau masalah besar yang mereka alami sepanjang mengerjakan haji sehingga satu waktu dalam perjalanan pulang dari Mekah ke Jeddah. Perjalanan jauh itu dilakukan dengan menaiki unta kerana kenderaan seperti kereta dan kapal terbang belum wujud. Abah yang masih kecil ketika itu telah memasang niat untuk tinggal di Mekah lebih lama. Abah mahu belajar agama seperti halnya masyarakat Melayu yang ke sana mahu belajar. Abangnya Mohd Yatim naik haji ke Mekah dan berjaya tinggal di sana selama empat tahun sebelumnya. Pada masa yang sama abah seperti mendengar dari dalam telinga emaknya, Lanjung (Uwan Aruh), menyerunya pulang. Bisikan ini berulang kali didengarnya. Maka abah menjadi serba salah terperangkap dengan keinginan mengejar ilmu dengan bisikan dan seruan emaknya menyuruhnya pulang. Menurut cerita emak, Mija mahu anak saudaranya itu pulang bersamanya. Dan dalam keadaan main tarik-tarik tali itu Mija dan rombongan pulang tanpa membawa Yassin bersama
Mija tiba di Jeddah keesokan harinya. Dan alangkah terperanjatnya Mija apabila mendapati abah telah berada di Jeddah. Mija hairan dan tertanya-tanya bagaimana abah boleh sampai dahulu kerana tidak ada kenderaan yang lebih pantas selain daripada unta untuk berjalan jauh dari Mekah ke Jeddah. Dan jika perjalanan sekarang siambil kira dengan menggunakan bas, ia akan mengambil masa sehingga lima jam. Maka berbagai-bagai kemusykilan timbul bagaimana abah boleh sampai dahulu daripada mereka. Jika abah menaiki unta dan mengikuti kafilah atau rombongan lain, sudah tentu abah akan sampai lama sesudah ketibaan Mija. Emak sendiri tidak dapat merungkai peristiwa misteri itu sehinggalah emak meninggal beberapa tahun yang lalu. Abah meninggal dunia pada awal tahun 1984 di Kg. Gadong kerana sakit tua. 12 mac 2008.
Will try to update this blog
ReplyDeleteWill try to update this blog
ReplyDelete