![]() |
Dharmawijaya ketika di Universiti Malaya |
(Kamaruzzaman bin Abdul Kadir, K. Zaman)
LAHIR : 23 Jun 1937 di Kampung Talang, Tanjung Ipoh, Negeri
Sembilan Darul Khusus.
ALAMAT : 31, Taman Rashidah Utama, Jalan Paroi, Senawang, 70450
Seremban, Negeri Sembilan Darul Khusus.
MENINGGAL DUNIA : April 2005 di Hospital Seremban, akibat kanser
paru-paru.
KELUARGA : Meninggalkan isteri, Zaini Ma’aya, tiga anak
Susilawati, Asrul Effendi dan Iza Hairani.
Dharmawijaya bukan nama asing dalam bidang penulisan dan akademik.
Ketika beliau menghembuskan nafas terakhirnya di rumah hospital Seremban, April
2005 beliau masih mempunyai kontrak dengan Universiti Putera Malaysia di
Serdang sebagai Sarjana Tamu. Beliau ditugaskan untuk membuat kajian tentang
Keris dan sejarah perkembangannya di Negeri Johor.
Sasaran kajiannya ini sebenarnya sedikit terkeluar daripada bidang
puisi yang hampir sinonim dengan namanya. Mengapa Keris dan tidak puisi-puisi
atau pemuisi di Johor? Apabila ditanyakan kepada salah seorang rakan sekerjanya
di universiti itu tentang perkara ini, rakannya itu tidak dapat menjawab.
Barangkali Dharmawijaya mahu mencari kelainan setelah hampir seluruh kerjayanya
sebagai guru, pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka dan ahli akameik di Universiti
Malaya dan Universiti Putra Malaysia, beliau mahu mencari “angin baru” dan
pengalaman baru dalam bidang yang sama sekali asing baginya. Telah masuk tahun
ketiga Dharmawijaya menjadi pegawai kontrak.
Lahir di Kampung Talang, Senaling, Kuala Pilah, Dharmawijaya
mengenal dunia melalui kawasan sekitar kampungnya yang berbukit dan berbendang;
berpaya dan bersungai. Beliau membesar dalam balutan resam budaya lingkungan
adat perpatih. Alam terkembang menjadi guru dan ia menjadi objek renungannya.
Jiwanya sensitif kepada sekitaran sehingga akhirnya sensitiviti itu ditumpahkan
ke dalam tulisan-tulisan yang puitis. Pernah beliau menulis, “Kata adat banyak
kiasan; ditunjuk dia tetapi bukan; bergulung pendek panjang terentang; tidak
faham kalau tidak direnungkan.” Pentafsiran tentang sekitaran memperkaya
bait-bait puisinya. Segalanya dikumpulkan dalam beberapa buah antologi, yang
terawal Warna Maya.
Banyak yang menganggap Warna Maya adalah Dharmawijaya dalam puisi.
Dua dekad sesudah itu, persisnya tahun 1993 lahir pula Derita Buana. Ini
diikuti oleh Bintang Mengerdip (1984), Di penjuru Matamu (1975) dan Lagu
Kehidupan (1983). Antologi Bahasa Alam yang disusunnya bersama Allahyarham
Ma’arof Saad pernah menjadi buku teks kesusasteraan di peringkat SPM mulai
tahun 1984. Hampir 200,000 naskhah dicetak.
Satu hari dalam bulan September 1996, saya menghantarnya pulang ke
rumahnya di Taman Rashidah Utama, Seremban. Kami baru sahaja selesai menghadiri
Seminar Pengemaskinian Prasejarah Negeri Sembilan yang diadakan di sebuah hotel
terkemuka di Bandar itu. Beliau mempelawa saya masuk ke rumah tetapi saya
menolak kerana hari hampir Maghrib dan saya perlu pulang ke Bandar Baru Bangi.
Perjalanan masih jauh. Saya memerhatikannya sehingga dia hilang dimamah senja.
Inilah rumah yang sering saya kunjungi pada akhir-akhir tahun
1980an dahulu. Begitu kerapnya saya bertandang ke rumah ini sehingga saya
hampir tidak percaya bahawa sudah enam tahun lamanya saya tidak menjejakkan
kaki, walau hanya di pintu rumahnya. Dan dia pun seperti menyendiri dalam
dunianya dan sesekali saya temui dunia rindunya itu melalui bait-bait puisinya
dalam media yang langsung atau tidak langsung mempamerkan kehadirannya.
Saya dapat membayangkan betapa dia acapkali akan merenung nun jauh
ke timur melalui jendela kamarnya. Renungannya akan membelah gunung dan ngarai
di depannya, lalu renungannya akan terus menerjah dinding kamarnya menuju satu
daerah di mana dia dilahirkan, iaitu di Kampung Talang. Barangkali pula ketika
itu dia melepaskan resah rindunya kepada kampung halaman laksana sembilu
menhiris pedih hatinya, lalu dia pun menghimbau:
Pada teguh tenangmu
Menerima hari-hari yang pergi dan datang
Pastilah ditidur jaga anak-anakmu
Sayu matanya ke sawah ladang
Pilu hatinya di bukit berjurang
Betapa degup jantungnya tiba-tiba menjerat emosinya lalu
ingatannya menelusuri bendang luas di depannya yang dipagari petak permatang
dengan sungai membelah lalu dari utara ke selatan. Di seberang sungai tersergam
teguh banjaran bukit menghijau, dadanya menampung rezeki petani seisi desa. Dan
setiap petang sinar matahari akan menghilang di celah rimbunan belantara
sepanjang banjaran, tanda sehari lagi meningkatnya usia desa dan para
penghuninya.
Demkian pulalah Dharmawijaya, nama sebenarnya Kamaruzzaman Abd.
Kadir, seorang penyair tanah air yang banyak melahirkan puisi-puisi tentang
petani. Kampung Talang yang merupakan tanah kelahirannya adalah wajah daripada
suatu kehidupan masyarakat petani yang banyak terpancar dalam puisi-puisi
Dharmawijaya. Kampung Talang dan Dharmawijaya hampir menjadi sinonim,
Dharmawijaya menjadi terkenal sebagai penyair yang banyak mengungkapkan masalah
dan aspirasi rakyat tani di samping gambaran desa kampung halamannya sendiri.
Hingga kini sudah lebih tiga puluh tahun Dharmawijaya mengabdikan dirinya dalam
dunia perpuisian Melayu.
Demikian pulalah, anak Kg. Talang ini seada hayatnya akan merenung
jauh ke timur, meladeni jiwa romantisnya, memuja-muji realiti alam dan waktu
yang berlalu. Sejak tahun 1967, dia terus mengaprisiasi ketulusan tanah
leluhurnya yang telah memperkenalkan dirinya erti hidup dan kehidupan.
Itulah Dharmawijaya, yang menurut Ahmad Tarmizi, penulis Riau
adalah nama Indonesianya. Dharmawijaya adalah “warna maya”, segugus puisi rasa
seorang insan yang lahir daripada sudut jiwa dan kejiwaannya.
Dharmawijaya berpendidikan sekolah Melayu sehingga tahun 1952.
Menerima pendidikan di peringkat pengajian tinggi sehingga memperoleh ijazah
Sarjana Muda Sastera pada tahun 1976. Menjadi pendidik di pelbagai sekolah,
terutama di Sekolah Chi Hwa Seremban sebagai guru Bahasa Kebangsaan dan Sekolah
Menengah Datuk Abdul Samad di Tanjung Ipoh sebagai guru kanan Bahasa dan
Kesusasteraan Melayu. Antara tahun 1966 hingga tahun 1967, beliau dilantik oleh
Kementerian Pelajaran menjadi pensyarah sambilan untuk memberi kursus kepada
guru-guru Pusat Latihan Daerah dalam mata pelajaran kesusasteraan dan
kebudayaan Melayu. Beliau kemudian dipinjamkan untuk berkhidmat dengan Dewan
Bahasa dan Pustaka sebagai pembantu sastera. sebelum melanjutkan pelajaran ke
Universiti Malaya pada tahun 1973. Kemudian beliau mengambil ijazah Sarjana
Sastera juga dari Universiti Malaya pada tahun 1981. Setelah berkhidmat
beberapa ketika di pelbagai sekolah di Seremban beliau berkhidmat sebagai
pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Beberapa tahun
kemudian beliau dilantik sebagai Profesor Madya di jabatan yang sama hingga
beliau bersara.
Dalam bidang kesusasteraan, beliau mula berjinak dengan genre
puisi sejak aawal tahun-tahun 1960-an. Puisi awalnya berjudul “Kerana Hati”
dengan menggunakan nama pena K. Zaman. Kemudian lahir pula sajaknya “Anak
Perantau” yang tersiar dalam majalah Mastika Oktober 1962. Beliau mengasah bakat
menulisnya ketika menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim,
yang terkenal dengan panggilan Maktab “Suluh Budiman.” Beliau banyak belajar
melalui bacaan buku-buku sastera dari Indonesia. Dengan lahirnya puisi-puisi
beliau yang begitu banyak yang memenuhi ruangan-ruangan sastera dalam akhbar-akhbar
tempatan seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Utusan Zaman, Dewan Masyarakat
dan Mastika, memang tidak perlu diragukan lagi tentang minat dan kebolehannya
dalam sastera, khususnya puisi. Kebolehan beliau dalam menggubah pantun untuk
rancangan Televisyen Malaysia yang pernah diterbitkan oleh Zainal Abu beberapa
ketika dahulu juga memperlihatkan kebolehan yang membanggakan peminat-peminat
pantun di tanah air.
Dengan mewarisi keupayaan yang serba boleh ini, beliau dilantik
menjadi Ketua I badan Ikatan Sastera Universiti Malaya (ISUM), sebuah badan
yang aktif dalam kegiatan sastera pada tahun 1976. Ketika itu Dharmawijaya
masih lagi menjadi mahasiswa. Dengan pimpinan beliau, ISUM telah berjaya
menerbitkan sebuah kumpulan puisi yang berjudul Bila Kita Berbicara. Walau
bagaimanapun setakat ini, Dharmawijaya telah menghasilkan dua buah kumpulan
puisi, Warna Maya (1974) dan Derita Buana (1992).
Jika kita hayati ulasan karyanya oleh pengkritik tempatan nescaya
kita dapati Dharmawijaya sebenarnya menilai kehidupan desa bersama manusianya.
Dalam “Kampung Talang” , Dharmawijaya melihat masyarakat tani dengan masalah
kemiskinannya dan iyang digambarkan dengan segala kejujuran. Bacalah juga
bait-bait dalam puisi-puisinya seperti “Cinta Sayang di Sawah Ladang”, “Balada
Gadis Tani”, dan “Senyum Anak Tani”, dan sebagainya. Nada suaranya simpatik
melalui pemerhatiannya dengan usikan rasa yang mengharukannya. Buku kajiannya
Nasionalisme dalam Puisi Melayu Moden 1933-1957 yang merupakan tesis
sarjananya telah terpilih memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1982/1983. Sebelum
itu, puisinya “Sumpah Tanah Air” dan sebuah lagi bertajuk “Masih Ada”
masing-masing terpilih memenangi Hadiah Karya Sastera dalam tahun 1971 dan
1976. Dharmawijaya kemudiannya dilantik menganggotai Panel Hakim Hadiah Sastera
Malaysia mulai tahun 1984/85. Sebelum dilantik panel hakim beliau pernah pula
menjadi pemenang Hadiah Sastera Malaysia beberapa kali, iaitu pada tahun 1971,
1976 dan 1982/83. Semuanya dalam bidang puisi.
Selepas bersara dari Universiti Malaya, beliau berkhidmat pula di
Universiti Putera Malaysia, Serdang, sebagai Sarjana Tamu di Jabatan Bahasa
Melayu, Fakulti Pengajian Bahasa-bahasa Moden, mulai 1996 sehinggalah beliau
meninggal dunia pada tahun 2005. Selain itu beliau telah dilantik menjadi Ketua
Penilai Hadiah Penghargaan Penulis Sarawak dan menganggotai Panel Anugerah
Sastera Sarawak mulai tahun 1992. Dharmawijaya telah terpilih menerima Anugerah
S.E.A. Write Awards di Bangkok pada tahun 1993, Anugerah Penyair Gapena 1999
dan Anugerah Pujangga UPSI pada tahun 2002. Sebagai anak Negeri Sembilan yang
telah berjasa dalam bidangnya, beliau telah dianugerahkan Darjah Setia Negeri
Sembilan pada tahun 1995.
Masih saya ingat ikatan kami berlima, iaitu Datuk Prof. Dr. Hashim
Awang, kini di Universiti Brunei Darussalam, Prof. Madya Dr. Othman Puteh
(Allahyarham), Sdr. Mohd. Yusof Md. Noor, Dharmawijaya (Allahyarham) dan saya
sendiri. Pada suatu ketika dalam tahun-tahun 1980-an, kami sering sahaja
berpergian bersama-sama, terutama mengunjungi tanah seberang, Indonesia. Tiga
bandar utama sering kita kunjungi, iaitu Medan, Jakarta dan Bandung. Biasanya
kami ketika pergi kami hanya membimbit satu beg pakaian tetapi ketika pulang ke
tanah air beberapa hari kemudian, jumlah beg bertambah. Ada yang membawa dua
beg dan ada ketikanya tiga buah.Isinya bukan pakaian tetapi buku yang kami beli
daripada toko-toko buku. Masih saya ingat Allaahyarham Dharmawijaya berebut-rebut buku
dengan Allahyarham Othman, tertama ketika berada di Toko Gramaedia di Jakarta atau
Toko Deli di Medan atau toko buku al-Maarif di Bandung.
Ketika berebut buku itulah Dharmawijaya sering berkata
beruang-ulang bagaikan melarang kami merebut nashkah buku di rak atau di
tangannya. Katanya dalam satu ayat pendek, “Ini ese punyo,” dalam loghat Negeri
Sembilan yang pekat. Dan kami selalunya akan ketawa panjang melihat karenah dan
gelagat beliau, terutama ekpresi wajah di mukanya. Dharmawijaya benar-benar
menghiburkan kami. Inilah pengalaman yang tidak mudah kami lupakan ketika
bersamanya di toko-toko buku.
Dan satu lagi cerita yang mungkin dapat kita kongsi bersama ialah
tentang proses menyiapkan manuskrip untuk kami terbitkan dalam bentuk buku.
Ketika saya bertugas di Penerbit Fajar Bakti pada tahun-tahun 1980-90an, kami
sering memintanya menyiapkan manuskrip. Biasanya kami akan memberikannya tempoh
masa yang cukup untuk menyiapkan. Dan dalam mengejar deadline, lazimnya juga
kami akan menghubunginya dengan langsung berkunjung ke rumahnya. Sepanjang
pengetahuan kami, belum pernah sekali Dharmawijaya dapat menyiapkan
manuskripnya mengikut jadual. Dan kami menjangkakan demikian dan atas dasar
itulah kami sengaja mempercepat tempoh deadline, kerana kami amat memahami
sikapnya dengan “masa”.
Bagaimanapun apa yang hendak kami ceritakan ialah tentang
tingkahnya yang meyakinkan. Pernah suatu waktu saya dan Ma'arof Saad
(Allahyarham), editor yang mengendalikan bukunya mengunjungi rumahnya pada
malam hari di Taman Rashidah Utama, Seremban. Ketika kami sampai Dharmawijaya
telah sedia menunggu di pintu gerbang rumahnya. Yang menghiburkan kami ialah cara beliau
meyakinkan kami bahawa permintaan deadline kami itu akan segera dipenuhi.
Dharmawijaya akan berkata, “Siap. Jangan bimbanglah.” Dan sambil itu kedua-dua
ibu jari kakinya akan menguit-nguit mengikut pertuturannya. Ini dilakukannya
berulang-ulang kali sambil kami menikmati minuman. Benar-benar kami terhibur
dibuatnya sehingga kami lupa tujuan sebenar kami mengunjunginya.
Begitu juga
halnya ketika kami minum di warong kopi atau di restoran. Dharmawijaya akan
membiarkan teh tarik panasnya beberapa ketika tanpa disentuh. Jadi kami
ahajalah yang minum dan apabila kami tegurnya supaya meneguk teh tariknya
dengan selamba beliau menjawab, “Minumlah dulu. Nanti ese minum.” Lantas beliau
berada seperti orang berfikir, merenung ke hadapan, mungkin melihat kenderaan
yang lalu lalang atau tengah “dirasuk” ilham. Kami tidak pasti. Sesekali beliau
memerhatikan kami minum. Setelah beberapa minit, Dharmawijaya akan menyentuh cawan
atau gelas minumannya, barangkali untuk memastikan apakah tehnya sudah pada
pereingkat suam-suam panasnya. Dan kemudian dengan sekali lalu beliau akan
menghirupnya hingga habis.
Demikianlah Dharmawijaya yang kami kenal. Hubungan kami secara
peribadi bermula pada tahun 1972, persisnya pada hari Isnin, 7 Februari, ketika
saya mula bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka. Dharmawijaya diperkenalkan
kepada saya oleh Saleh Daud (Allahyarham) yang ketika itu bertugas sebagai
Ketua Unit Sastera Kanak-Kanak, merangkap editor Dewan pelajar.
Dharmawijayapula berugas sebagai Penolong editor majalah berkenaan.
Dharmawijaya menyapa saya, “Koba Cik Fadil kita. Donga eh kito ni warihkan?”
Lalu kami bersalaman. Saya duduk bersebelahan dengan beliau. Dan di dalam bilik
kerja itu ada Kemala (Datuk), Shamsuddin Jaafar, Awam il-Sarkam dan A. Karim
Abdullah. Kmi berenam sebilik. Memagari kami ada Usman Awang di bilik sebelah
kiri dan Abdullah Hussein dan Saleh Daud di bilik sebelh kanan. Dan gurauan dan
mainan bibir kami waktu ialah sebutan “Haji Tahir” dan “Dol Keropok”. Sesekali
pintu bilik dibuka dan dengan ketawa kecil Abu Yazid Abidin atau Wijaya Mala menegur kami
semua, terutama Awam il-Sarkam yang duduk dekat pintu, “ Assalamualaikum Haji
Tahir!”. Sampai sekarang ini kami masih tidak tahu siapa sebenarnya Haji Tahir.
Barangkali Kemala tahu tetapi sengaja menyembunyikan rahsia itu dari saya.
KARYA
Antologi Puisi : Bingkisan Angkatan Baru (antologi bersama), Kuala Pilah:
Pustaka Hang Tuah, 1956, 62 hlm.; Himpunan Sajak (antologi bersama), Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1969, 139 hlm.; Warna Maya, Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, 1974, 84 hlm.; Bila Kita Berbicara (antologi
bersama), Kuala Lumpur: Ikatan Sastera Universiti Malaya, 1976, 115 hlm.;
Puisi-puisi Nusantara (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1981, 294.; Tinta Pena (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1981,
631 hlm.; Burung Musim (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti
Malaya, 1983, 84 hlm.; Lagu Kehidupan (Peny.), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1983, 302 hlm.; Bintang Mengerdip (Peny.), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka 1984, 75 hlm.; 100 Sajak Malaysia (antologi bersama), Kuala Lumpur:
Tra-Tra Publishing & Trading Sdn. Bhd., 1984, 141 hlm.; Bahasa Alam (antologi
bersama) , Petaling Jaya, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1984, 108 hlm.; Bunga
Gerimis (Peny.) Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986, 132 hlm.;
Puisirama Merdeka (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1986, 141 hlm.;
Kumpulan Puisi Malaysia 1975-1985 (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, Dewan
Bahasa dan Pustaka, 1988, 167 hlm.; Puisi Baharu Melayu 1961 – 1986 (antologi
bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, 941 hlm.; Malaysia
dalam Puisi (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991,
316 hlm.; Derita Buana, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, 64 hlm.;
Suara Rasa/Voice From Within (antologi bersama), Kuala Lumpur: Maybank, 1993,
228 hlm.; Puisi-puisi Kunjungan (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka, 1995, 253 hlm.; Rupa Kata (antologi bersama), Ipoh, Yayasan
Kesenian Perak, 1996, 122 hlm.
Esei/Kritikan : Nasionalisme dalam Puisi Melayu Moden 1933 – 1957,
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982, 181 hlm.; Nasionalisme Dalam
Persuratan (antologi bersama), Kuala Lumpur : Muzium Negara dan Dewan Bahasa
dan Pustaka, 1985, 227 hlm.; Sastera dan Sasterawan III (antologi bersama),
Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia, 1985, 149 hlm.
Kajian : Tanggapan dan Kaedah Pengajaran Puisi, Petaling Jaya:
International Book Service, 1987, 151 hlm.; Inti sari Sejarah Kesusasteraan
Melayu Moden, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1987, 143 hlm.;
Berkenalan dengan Puisi, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1988, 116
hlm.; Dunia Puisi dalam Penelitian dan Pengajaran, Petaling Jaya: Penerbitan
Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1988, 271 hlm.
RUJUKAN
1. A. samad Idris, Norhalim Hj Ibrahim dll, (Peny.), Adat Merentas
Zaman, Jawatankuasa Penyeidikan Budaya Negeri Sembilan, 1994.
2. A.F.Yassin, Sembang Sastera Bersama Orang Persuratan, Penerbit
Fajar Bakti Sdn. Bhd, Shah Alam, 1998.
3. Baharuddin Zainal, suffian Hussain dll., (Peny.), Wajah,
Biografi Seratus Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1981.
4. Dharmawijaya, Dunia Puisi: Dalam Penelitian dan Pengajaran,
Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., Shah Alam, 1998.
5. Maarof Saad, Bahasa Alam, Penerbit Fajar bakti Sdn Bhd.,
petaling Jaya, 1983.
6. Salim Haji Taib dan Mahaya Mohd Yassin, Karisma PEN, Biografi
Penulis Negeri Sembilan, Kerajaan Negeri Sembilan dan Persatuan Penulis Negeri
Sembilan, Seremban, 2005.
(kertas kerja Drs. Ahmad Fadzil Yassin ini disampaikan di Seminar Kesusasteraan: Dharmawijaya Dalam Kenangan di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Komunikasi dan Bahasa-Bahasa Moden, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor, pada 14 Mac 2009.)
Al-Fatihah..
ReplyDeleteKg. Talang terletak di Tg. Ipoh bukan nye Senaling, tuan... Mohon pemberulan
ReplyDelete