![]() |
Pakya dengan paip kesayangannya |
![]() |
Pakya ketika di temu bual di rumahnya di Kg. Tunku, Petaling Jaya |
![]() |
Buku yang memuatkan artikel tentang Yahaya Ismail |
Pada pendapat, selepas 50 tahun merdeka, bahasa Melayu memang ada
peningkatannya. Daripada segi sistem pendidikan, ketika di zaman kolonial
British dahulu, paling tinggi kita hanya ada Maktab Perguruan Sultan Idris
Tanjung Malim. Dengan kelulusan itu, kita menjadi cikgu, mata-mata atau pun
peon. Dan atas segala macam sebab British memang tidak menggalakkan penggunaan
bahasa Melayu di pengajian tiggi.
Setelah kita merdeka, Tun Razak dengan kesedaran Kemelayuan yang
kuat, melahirkan Penyata Razak tahun 1956. Itulah yang menjadi asas kepada
sistem pendidikan kebangsaan di mana bahasa Melayu akan menjadi bahasa
pengantar dari sekolah rendah sampailah ke universiti. Itulah dasar yang telah
ditetapkan kerajaan di bawah pimpinan Tun Razak. Memang baik!
Selepas itu, barulah ada komiti lain untuk memperkasakan Bahasa
Melayu sebagai bahasa pengantar. Kalau saya tak silap, Tun Syed Nasir dan Tun
Mahathir Mohamad, termasuklah dalam komiti yang ditubuhkan. Mereka inilah yang
memberi ruang baru kepada petuturan bahasa Melayu di peringkat universiti
dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai pemula. Jadi, daripada segi
itu, bagus!
Dalam Perlembagaan ada disebutkan bahawa 10 tahun selepas merdeka,
bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ialah bahasa Melayu, iaitu pada tahun
1967. Tetai ternyata semacam ada tentangan daripada pihak-pihak yang anti
bahasa Melayu. Dengan adanya penentangan inilah yang menimbulkan kesedaran kami
untuk mewujudkan Barisan Bertindak Bahasa Kebangsaan. Tujuannya adalah untuk
memperjuangkan Fasal 152. Perlembagaan Negara, iaitu menjadikan bahasa Melayu
sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan yang tunggal 10 tahun selepas
merdeka. Kerajaan tidak tidak boleh berganjak.
Bagaimanapun, proses perkembangan politik di Malaysia ini selepas
Tun Razak dan Tun Hussein Onn memperlihatkan peranan yang dimainkan oleh bahasa
Melayu menjadi semakin malap. Kerajaan ada meluluskan Akta Bahasa Kebangsaan
pada tahun 1967. Nampaknya ada usaha untuk mendaulatkan bahasa Melayu itu
sebagai bahasa pengantar dan juga bahasa dalam pentadbiran negara. Akta itu
kita boleh terimalah. Rakyat menganggap, “ Wah, ini sudah bagus!” Ertinya sudah
ada nilai ekonomi yang diberikan kepada bahasa Melayu
Maka, dalam surat-menyurat pun, semuanya dibuat dalam bahasa
Melayu. Pada pandapat saya telah timbul apa yang kita panggil, nationalisme
linguistik. Ertinya, ada rasa kebangsaan daripada segi bahasa. Jadi, bahasa itu
sudah menjadi satu kekuatan politik, satu isu politik yang dijiwai oleh UMNO
yang memerintah dan juga pihak-pihak lain yang dianggap sebagai pembangkang.
Memang ada. Malangnya, pada zaman kerajaan dipimpin Tun Mahathir, berlaku
sedikit anjakan. Tun Mahathir mahu orang Melayu, terutamanya mesti cepat
berubah dalam cara berfikir dan tidak hanya menyerah kepada nasib dan
lain-lain. Ini bererti mesti ada ‘ mental change ’ atau revolusi mental dalam kalangan
orang Melayu.
Dengan hal yang demikian, ilmu menjadi perkara penting. Tun
Mahathir juga lebih menekankan soal ekonomi. Timbullah konsep pandang ke timur,
sebagai satu usaha untuk menyedarkan rakyat Malaysia khususnya orang Melayu
bahawa kita ini mesti cepat berubah dan berjiwa dinamik. Jangan menyerah
segala-gala kepada kerajaan. Dan Tun Mahathir nampaknya tidak mahu menggalakkan
mentaliti subsidi dalam kalangan orang Melayu. Ini yang kita nampak dari segi
kepimpinan Tun Mahathir selama 22 tahun. Dalam proses untuk memajukan ataupun
memodenisasikan negara dan juga masyarakat, Tun Mahathir sudah melakukan suatu
tindakan yang mungkin dianggap oleh kebanyakan orang Melayu, sebagai merugikan
orang Melayu, iaitu Tun Mahathir menekankan pentingnya sains dan teknologi. Tun
Mahathir juga menekankan soal perindustrian. Memang bagus, tetapi sepatutnya
janganlah sampai mengorbankan orang Melayu.
Misalnya, apa yang Tun Mahathir perkenalkan sekarang, mengajar
Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Bukannya kita benci bahasa Inggeris.
Tidak! Tapi, cuba kita lihat Negera Jepun, Korea, Mereka maju, tetapi rakyatnya
rata-rata tidak tahu bahasa Inggeris. Bukan semua rakyatnya tahu bahasa
Inggeris tetapi negara itu tidak memajukan bahasa itu. Mereka memajukan bahasa
Jepun atau bahasa Korea. Buku yang diterbitkan di Amerika baru dua bulan sudah
diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun atau bahasa Korea. Orang Korea dan orang
Jepun tidak perlu mempelajari bahasa Inggeris tetapi mereka berjaya menguasai
ilmu. Ini yang penting.
Malangnya, kita ini tidak. Tun Mahathir mahu orang Melayu maju,
terutama sekali dari segi ilmu pengetahuan. Tetapi buku dalam bahasa Melayu
tidak ada. Mahu tidak mahu, kita mesti menggunakan buku bahasa Inggeris. Mahu
tidak mahu, kita kena menguasai bahasa Inggeris. Tun Mahathir hendak orang
Melayu cepat maju. Tidak mahu tunggu sehingga semua buku ditulis dalam bahasa
Melayu, baru kita hendak melahirkan doktor, jurutera dan lain-lain. Sebagai
pemimpin, Tun Mahathir berhak berbuat demikian tetapi malangnya orang-orang
lain yang diberi amanah untuk memajukan bahasa Melayu dan mendapat pendidikan
melalui bahasa Melayu tidak mengikuti perkembangan seperti halnya para pemimpin
negara.
Maka tempanglah penggunaan bahasa Melayu ini. Akhirnya, hari ini
orang-orang yang hanya belajar menguasai bahasa Melayu mendapati mereka tidak
mempunyai tempat. Nilai kemanusiaan sudah tidak ada. Sekarang ini, kebanyakan
yang menjadi penganggur terdiri daripada mereka yang mengambil jurusan
Pengajian Melayu, Pengajian Media atau Pengajian Islam dan lain-lain. Lowongan
untuk mendapatkan pekerjaan terbatas sekali. Yang jadi mangsa sekarang ialah
orang Melayu. (Petikan temu bual dengan Yahaya Ismail pada 14 November 2007.
Temu bual diadakan di kediamannya di Kg. Tunku, Petalng Jaya.)
No comments:
Post a Comment