Thursday, 17 August 2017

A.M.THANI : SIKAP DAN TEKNIK BAHARU PENGARANG DALAM GENRE CERPEN


A.M. Thani bekas Pegawai Penyelidik DBP mengulas cerpen yang tersiar dalam Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia. Ulasan ini dipetik dari buku Memoir A.F.Yassin 2 Menuju Pelabuhan Waktu.

Othman Puteh dengan cerpen Dia Jadi Pembunuh
A.F.Yassin dengan cerpen Nyiur Bertuah Nyiur Celaka
A.M.Thani (dua dari kiri) pengulas Cerpen Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia


Aziz Afkar dengan cerpen Musa Hilang Di Bulan
Mohd. Mansor Abdullah dengan cerpen Pahlawan Cangkul
Nahmar Jamil dengan cerpen Pulang Dari Sabah
Baharuddin Kahar dengan cerpen Remon Akan Pulang
Kamaruzzaman Kelantan (kiri) dengan cerpen Sepucuk Surat Dari Ulu


SEPINTAS lalu, ada petunjuk-petunjuk bahawa bidang cerpen kembali menjadi popular bukan sahaja dalam kalangan peminatpeminatnya, tetapi juga dalam kalangan cerpenis-cerpenis itu sendiri. Semakin hari karya-karya kreatif berdepan dengan masyarakat pembaca, berbagai-bagai ragam dan bentuk pula pengarang-pengarang mencernakan karya-karya mereka. Belum begitu jauh kalau mahu dikatakan ada semacam titik-titik pembaharuan dan percubaan oleh pengarang-pengarang kita dalam
usaha menyampaikan idea ke dalam bentuk-bentuk cerpen. Gejalagejala ini lebih banyak dapat dilihat dalam beberapa buah cerpen yang disiarkan oleh Utusan Zaman dan Mingguan Malaysia keluaran bulan Februari lalu. Bulan lalu banyak merubah warna udara dunia cerpen kita. Ciri-ciri yang ketara dalam warna pembentukan dunia cerpen hariini lebih banyak menonjolkan sikap dan teknik penulisan penga-rang. Pembacaan sesebuah cerpen nampaknya bukan lagi pembacaan spontan bersama-sama perutusannya, tetapi mengundang banyak pemikiran untuk dapat sama merasa dan melihat persoalan dan profi l watak-watak yang diketengahkan biarpun dipersembahkan secara berlucu-lucu ataupun dicorakkan dalam daya imaginasi pengarang sendiri.

Cerpen “Pulang Dari Sabah” (Utusan Zaman, 6 Februari) oleh Nahmar Jamil merupakan sebuah cerpen monolog yang menarik. Berlainan daripada bentuk cerpen yang lain. Cerpen Nahmar Jamil tampil dengan teknik dan cara bercerita yang khas dan agak ganjil. Pengarang tidak lagi membatasi dirinya dalam penulisan cerpen yang memerlukan banyak watak dialog, tetapi lebih bersedia memberikan ruang bagi ersoalan-persoalannya itu supaya dihayati secara menerus dan menjurus untuk memahamkan pembaca dengan berbagai-bagai masalah dan suasana hidup manusia. Dunia abstrak bagi masyarakat di Sabah masih merupakan dunia yang luas dan hidup dalam alam pemikiran yang masih muda di mana pengaruh-pengaruh agama juga menjadi satu perkara baharu. Secara menjurus pembaca dibentangkan dengan perkembangan kehidupan orang-orang di Sabah yang lebih banyak menghormati moral daripada nama dalam mencari keyakinan hidup sendiri. Biarpun cerpen “Pulang Dari Sabah” dihidangkan dalam bentuk yang agak simple, seolah-olah seperti one-man-show sahaja, namun kejayaan cerpen ini terletak pada kelancaran bahasa yang dimiliki oleh pengarangnya. Tidak ada dialog dan watak-watak yang jelas, tidak sekali mencederakan jalan cerita dan penilaian cerpen itu sendiri. Hemat saya cerpen Nahmar Jamil bisa diterima dalam konteks demikian 

Pada minggu yang sama, kita lihat Othman Puteh melalui cerpen “Dia Jadi Pembunuh” (Mingguan Malaysia, 6 November) mengemukakan persoalan yang diasaskan pada satu peristiwa yang tidak pernah dihuraikan, malah bergantung semata-mata pada pendirian dan sikap seseorang yang lazimnya gemar mengambil tindakan yang terburu-buru. Jamaan yang terburu-buru bertindak balas membunuh pemandu yang melanggar anaknya, Badri, mendapati tindakannya itu tidak selamanya dapat menenteramkan hatinya. Hati Jamaan bukan sahaja luluh untuk melihat cita-cita anak itu berjaya dalam hidupnya, tetapi turut menginsafi penderitaan isteri pemandu yang terpaksa menjadibalu pada ketika akan melahirkan anak sulung mereka pula. Cerpen ini nyata ditulis dengan penuh pengertian tentang telatah manusia. Gaya bahasa pengarang menjadi alat pemintar untuk menggambarkan kelemahan sikap seseorang dengan simpati serentak dengan pengajaran yang cukup tajam. Pengalaman juga meminta pengarang untuk menegaskan bahawa manusia hanya bisa mengharap dan merancang, tetapi untuk mengatur dan merancang memerlukan pendirian yang hati-hati dan benar-benar tulen. 

Kemudian kita lihat pula sebuah cerpen dalam bentuk surat yang cuba dipopularkan semula oleh Kamaruzzaman Kelantan menerusi cerpennya “Sepuchuk Surat Dari Ulu” (Utusan Zaman 13 Februari).Pengarang mendekatkan kita kepada satu sosio-protes di mana satu pencerobohan dan pendedahan dilakukan terhadap suatu organisasi gerakan rakyat dalam sebuah daerah di pedalaman. Pembaca berdepan dengan nasib rakyat di mana nikmat kemerdekaan bagi mereka cuma bayang-bayangan sahaja dan di mana kemerdekaan dalam erti kata sebenarnya masih belum wujud. Suara batin ‘sahabat’ memberikan kesempatan si pengarang mempertajamkan kecaman-kecaman atas kelemahan dan keburukan dalam satu corak pemerintahan yang jelas dicanangkan dengan cara yang agak jujur dan wajar.Bagaimanapun saya kurang bersedia untuk menganggap cerpen ini khusus ditujukan kepada masalah rakyat di pantai timur sahaja. Pun tidak seharusnya dianggap cerpen ini kononnya lahir di saat mana pilihan raya kecil kawasan Tumpat atau menyangka boleh menolong kempen pilihan raya sebagaimana yang pernah dikemukakan oleh beberapa orang pengulas. (Lihat ulasan Saudara A. M. Hilmy dan Mohammad Yunus mengenai cerpen ini dalam Utusan Zaman 20 Februari. 

Sebuah problem yang ditimbulkan untuk gambaran sesuatu tempat mungkin terdapat juga berlaku di daerah lain dan sebab itu tidaklah seharusnya kita terus mengecap sesuatu perkara berdasarkan kedudukan pengarangnya sahaja. Terlalu banyak pembeberan yang cuba diasak oleh pengarang ke dalam cerpennya. Pengarang menampakkan bakat untuk mengkritik dengan halus dan saya rasa efektivitas cerita ini terletak pada kekayaan bahan yang diperkatakan, sehingga kita benar-benar begitu bersimpati dengan keadaan yang berlaku.A.F. Yassin pula melalui cerpen “Nyiur Bertuah Nyiur Celaka” (Mingguan Malaysia, 13 Februari) segera mengingatkan kita kepada cerpen-cerpen yang pernah tersiar selepas merdeka, di mana persoalan tentang pembangunan luar bandar begitu hangat diperkatakan. Namun,sebagai satu persoalan tentang masalah hidup tertentu yang kemungkinannya besar masih terdapat lagi pada masa ini, cerpen ini dari segi penceritaannya tidaklah begitu mengecewakan, biarpun dapat memuaskan satu mood yang sangat sesuai sahaja. Daripada pemaparan watak Pak Dollah umpamanya, jelas kita mendapat kepastian tentang titik-titik hitam putih yang masih membendung jiwa manusia yang akan mengalami corak dan pembaharuan zaman dalam hidupnya. Pak Dollah lebih senang untuk mengatakan bahawa jasa pohon kelapa di tepi rumahnya, yang tidak dibenarkan ditebang oleh pihak LLN itu, lebih besar daripada jasa wakil rakyat di kampungnya. 

Betapa terasa persoalan ini menggenggam perhatian kita pada mulanya, kita begitu bersimpati melihat nasib Pak Dollah yang terpaksa tunduk kepada perubahan zaman sedangkan dalam diri Pak Dollah terasa betapa perlunya seseorang itu memperkemaskan kehidupan sendiri yang sekian lama begitu sempit dan kurang diberikan perhatian sebelum menghadapi dan menerima corak hidup yang baharu. Untuk kesekian kalinya pula kita bertemu lagi dengan masyarakat petani melalui cerpen “Pahlawan Cangkul” (Utusan Zaman 20 Februari) oleh Mansur Abdullah. Dan kesekian kalinya pula kita masih melihat pengarang yang belum bersedia untuk bersikap ‘optimistik’. Pun kalau dirasakan perjuangan petani masih merupakan satu perjuangan yang menghampakan, masih juga terus menderita walaupun sudah banyak cara dijalankan, tidaklah pula ganjil kalau pada ketikanya, perjuangan itu diberikan satu kemenangan. Ada baiknya kalau “Pahlawan Cangkul” berakhir dengan satu kemenangan supaya ganjarannya akan lebih bererti untuk membasmi gejala-gejala yang tidak sihat terhadap gelagat manusia yang masih percaya kepada kuasa-kuasa ghaib, tahayul dan sebagainya untuk seterusnya membuktikan bahawa tidak selamanya perkara itu dapat dijadikan pegangan sebaliknya menjadi batu penghalang besar ke arah kemajuan.

Selain itu, ilmu jiwa juga telah banyak mempersoalkan perasaan bersalah terhadap sesuatu kejadian yang sesungguhnya tidak begitu langsung disedari. Demikian terdapat dalam cerpen “Remon Akan Pulang” (Mingguan Malaysia, 20 Februari) oleh Baharuddin Kahar di mana efeknya timbul daripada satu tindakan oleh satu pihak yang tidak menerima suasana sekelilingnya. Apabila suasana dalam satu keluarga terus-menerus tidak tenteram sehingga memecahbelahkan suami isteri, kekeruhan yang tersimpan dalam hati Remon tidak bisa disimpannya berlama, lantas dia lari daripada rumahnya sebagai jalan keluar. Walaupun tindakan Remon agak wajar, namun kita masih belum jelas tentang sebab-sebab Mak Lijah, ibu Remon, sering berkelahi dengan suaminya. Pengarang tidak pun menerangkan sebarang kekurangan dan kecelaan dalam keluarga mereka. Malah pengarang terlalu menekankan objek-objek yang visual tanpa mendalami titik-titik asal sebelum benar-benar dapat diterima satu interaksi daripada objek itu sendiri.

Kalaupun mahu dicari kelemahan dalam cerpen ini, maka itulah yang agak ketara dilihat. Dalam dunia cerpen juga ada kalanya idea daripada seorang pengarang tidak terjangkau oleh ‘daya terima’ sesetengah pembaca, malah kadang-kadang sebuah cerpen mungkin tidak memberikan kesan apa-apa dengan pembacaan sepintas lalu sahaja, sedangkan jika diteliti dan difi kirkan tersingkaplah rahsia sebenar yang cuba dicanangkan oleh pengarangnya. Cerpen “Musa Hilang di Bulan” (Utusan Zaman 27 Februari) oleh Aziz Afkar membuktikan hal ini. Sekali imbas, mungkin kita menyangka bahawa pengarang cuba berlucu-lucu, tetapi sebenarnya banyak perkara yang mengisi mesej pengarang. Mingguan Malaysia dan Utusan Zaman 27 Februari (?)

No comments:

Post a Comment