Allahyarham Ma'arof Saad
25 Januari 2008
Saya terbangun tengah malam, tapi tak pasti pukul berapa. Saya bermimpi bertemu dengan kawan lama, Arwah Ma’arof Saad. Arwah hadir
dbersama-sama kawan-kawan yang lain, tapi yang saya ingat Datuk Jalil Abd. Rahman, mantan Pengarah DBP Cawangan Sarawak tidak ingat nama kawan-kawan yang
lain itu. Apa yang saya ingat ialah saya terperanjat melihat Ma’arof ada
bersama kami kerana saya tahu dia telah meninggal lama. Salah seorang daripada
kawan-kawan yang hadir secara melawak berkata, “Kawan kita itu hadir kerana
baru balik dari tempat jauh.” Sehingga saya terbangun dari tidur saya masih
mengingatkan bagaimana Ma’arof boleh hadir. Saya juga kurang pasti kenapa kawan
karib yang kami sentiasa bersama, Jalil Rahman, turut hadir.
Apapun jua saya mempelawanya menjamah makanan yang ada.
Seperti ketika kami bersama lazimnya dia sering berkata ketika kami mempelawanya makan,”tenang saja. Sebentar lagi gua makan.” Selama bersama dalam mimpi itu, Arwah tidak banyak bercakap. Arwah lebih suka memerhati daripada berbuat
sesuatu. Saya tidak dapat mengingatkan apa yang kami bualkan.
Masalah yang saya hadapi sekarang ialah susah mengingat apa yang dimimpikan
sebaik sahaja terjaga daripada tidur. Tidak jelas apakah sebabnya. Setiap kali
bermimpi dan terjaga amat sukar untuk saya mengingati mimpi yang baru dialami.
Juga, saya tidak dapat mengagak apakah implikasi mimpi itu terhadap kehidupan
sehari-hari saya berikutnya.
Apabila saya tidur kembali saya bermimpi lagi. Kali ini
saya benar-benar tidak ingat apa yang saya mimpikan. Apakah ia sambungan
daripada mimpi terdahulu atau lain pula yang dimimpikan. Sebelum tidur malam tadi, saya menonton berita Nightline TV3
bahawa mantan Menteri Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Seri Megat Joned meninggal dunia
di Hospital Pantai, Kuala Lumpur. Allahyarham berusia 65 tahun dan menghidap
penyakit barah (prostate gland) sejak satu setengah tahun yang lalu. Arwah Megat meninggalkan dua orang balu, seorang daripadanya pelakon Zeila Jalil.
Allahyarham dibawa ke rumahnya di Kelana Jaya dan dikebumikan di Tanah
Perkuburan Bukit Tiara.
Antara yang hadir menziarahi jenazah ialah Raja Muda
Perk, Raja Nazrin, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Khalil, Timbalan Perdana
Menteri ketika itu, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak dan mantan Perdana Menteri Tun
Mahathr Mohamad.Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi tengah berada
di Davos, Switzerland menghadiri Forum Ekonomi Dunia. Beliau mengucapkan
takziah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Jumaat,
Saya, Arwah Ma'arof dan Jalil Rahman berkawan rapat semasa bertugas di DBP. Saya ketika itu bertugas di Unit Majalah, Jalil di Unit Buku Umum dan Ma'arof di Unit Panel Hadiah Sastera. Ketiga-tiga Unit ini adalah di bawah Bahagian Penerbitan Umum yang diketuai Kamaluddin Mohammad atau Keris Mas dengan Timbalannya Dato' M. Noor Azam. Oleh kerana karibnya hubungan kami memiliki jenis kereta yang sama, iaitu Volkswagen. Kalau tak silap kereta Volkswagen saya berwarna merah, Maarof hijau manakala Jalil putih. Hampir setiap petang sebelum pulang ke rumah masing-masing kami singgah di warong mamak di Jalan Semark berhampiran Depoh Polis dan Kementerian Pertahanan untuk minum "teh tarik". Yang anehnya apabila kami bersembang kami tidak menggunakan dialek biasa, tidak juga sebutan baku tapi lebih mirip sebutan dialek Indonesia, Cina dan India digabungkan.
Jadi ketika bercakap dalam gabungan ketiga-tiga dialek ini jelas kedengaran bagaikan kami bercakap dalam sebutan yang ala caca merba. Melayu tidak, Cina tidak Tamil apa lagi, sehingga kami ditegur oleh Allahyarham SN Datuk Abdullah Hussain. Katanya, "Saya tak faham kamu bertiga ini. Apa bahasa yang kamu gunakan. Melayu tidak, Cina tidak dan Tamil jauh sekali." Selalunya Ma'arof akan menjawab, "Bong, tarak juga, gua bertiga guna Melayu punya bahasa juga. Cuma itu telor cikit lain juga ada." Abdullah cuma dapat geleng kepala dan diikuti oleh ketawa Saleh Daud yang duduk berdekatan.Ada tikanya kami bertiga "merayau" bersama-sama hingga jauh malam, dan hanya pulang setelah makan malam di kedai makan yang sering kita kunjungi, atau di warong di Benteng berhampiran Dataran Merdeka.
Namun tempat yang paling kami gemari ialah Restoran Yassin yang menyediakan Nasi Beriani di Jalan Masjid India atau kadang-kadang di Hotel Merlin di Jalan Sultan Ismail. Sesekali kami terserempak juga dengan orang-orang politik yang "berlabuh" sampai jauh malam. Biasanya kami hanya menaiki satu kereta dengan menggunakan kereta masing-masing secara bergilir. Jalil tinggal di Taman Maluri, Ma'arof di Sungai Way manakala saya di Jalan Loke Yew menyewa bilik di sebuah Flat tiga tingkat bersama Sutong Umar RS. . Kami terpisah oleh keadaan kerana saya mula bertugas di Penerbit Fajar Bakti mulai 1983, Ma'arof masih tetp di DBP sehingga saya menariknya bekerja di Penerbit Fajar Bakti setahun kemudian sementara Jalil terpaksa bertugas sebagai Pengarah DBP Cawangan Sarawak.
Itulah ketika saya terjaga daripada mimpi malam itu saya terus teringat hubungan trio ini yang mempunyai unsur keebersamaan daripada sudut pertuturan tiga loghat yang mungkin sampai ke hari ini masih menjadi tanda tanya buat sesetengah kawan-kawan di DBP, terutama Allahyarham SN Datuk Abdullah Hussain. Al-Fatihah buat kawan-kawan yang terlebih dahulu meninggalkan kami. 25 Januari 2008.
|
No comments:
Post a Comment