Saturday, 19 August 2017

ASRI AFFANDI: A.F.YASSIN PENULIS BELAKANG TABIR YANG AKTIF

Beberapa di antara karyanya dalam bentuk buku yang telah diterbitkan


HATINYA gembira apabila namanya mula-mula terukir dalam
akhbar Berita Harian pada tahun 1967. Walaupun coretannya
tidak lebih daripada “Surat daripada Pembaca” tetapi timbul
keazamannya hendak menulis. Keazaman tidak dibiarkan berlalu arus
tanpa usaha dan kegigihan lalu setahun kemudian, tepatnya tahun
1968, lahir sebuah karya kreatif pertamanya, genre cerpen yang berjudul
‘Suatu Keputusan’. Latar karya ini ialah Nagoya, Jepun dan kisah
yang dipaparkan ialah percintaan pemuda Malaysia dengan gadis Jepun.
Tentulah karya pertama itu yang tersiar dalam akhbar merupakan
pengalaman hari yang menyentuh perasaan dan hatinya ketika enam
bulan berada di Nagoya kerana mengikuti kursus intensif kejuruteraan.
Ertinya, beliau terlatih dan terdidik dalam bidang mesin dan jentera,
tetapi di sebalik kekasaran jentera dan kebisingan mesin itu sendiri,
timbul semacam kehalusan cita rasa dalam sanubarinya.

Kini, beliau telah menghasilkan lebih 50 buah cerpen, tetapi jarang
orang memperkatakannya sebagai karyawan. Beliau begitu terkenal
sebagai penulis kolumnis. Sekarang, beliau didampingi dan malahan
beliau juga mendampingi penulis, bertukar-tukar fikiran tentang ran-
cangan penerbitan buku sesuai dengan tugasnya sebagai pengurus
penerbitan merangkap ketua editor Penerbit Fajar Bakti, jawatan yang
dipegangnya sejak tahun 1983.

Jasanya dalam bidang penerbitan cukup besar, terutama dari
segi mengetengahkan buku-buku akademik dan ilmiah dalam bahasa
Melayu. Pada tahun 1980, tiga buah buku terbitan Fajar Bakti terpilih
untuk teks kesusasteraan Melayu, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Judul-judul yang dimaksudkan ialah Hikayat Malim Deman, Bahasa
Alam dan Suatu Subuh yang Bening. Pada tahun 1978, sebuah sahaja
terpilih, iaitu antologi puisi susunan Dharmawijaya.

Itulah A.F. Yassin, yang pada tanggal 25 Disember 1987 ini genap
usianya 43 tahun, kurang tujuh tahun setengah abad. Pada tanggal itu
juga, genap 20 tahun beliau berkecimpung dalam bidang penulisan,
kurang lima tahun suku abad. Nama lengkapnya ialah Ahmad Fadzil
Haji Yassin dilahirkan di Kampung Gadong, Negeri Sembilan. Beliau
lulusan sarjana ilmu komunikasi daripada Universiti Padjadjaran pada
tahun 1980. Dengan itu, A.F. Yassin merupakan penulis yang berilmu
dalam dua bidang dan seterusnya melibatkan diri dalam tiga dimensi.
Bidang-bidang keilmuan dan keahliannya ialah komunikasi dan
sastera, sementara kegiatannya dalam bidang penulisan kreatif dan
deskriptif dan serentak dengan itu, turut kreatif dalam penghasilan
dan penerbitan buku sesuai dengan profesion terkininya.

A.F. Yassin pernah bertugas sebagai juruteknik di kilang kain Jepun
di Johor Bahru dari tahun 1963-70. Profesion ini menjadi pasport kepadanya
untuk mengikuti kursus intensif di Jepun. Desakan dalaman
yang kuat untuk menjadi penulis menyebabkan beliau meninggalkan
profesion kekilangan itu, lalu melibatkan diri dalam bidang penulisan
sepenuhnya. Mula-mula sebagai penyunting (subeditor) di Berita Harian
(1971-72) dan kemudian pembantu sastera di Dewan Bahasa dan
Pustaka sehingga 1976. Ketika inilah beliau mendalami ilmu komunikasi
dan searusan dengan itu, lahirlah tulisan-tulisan kolumnisnya
yang menarik, yang menyentuh persoalan semasa dan stail penulisan
yang menggigit dan menyengat dengan judul “A.F. Yassin dari Bandung”
untuk Dewan Masyarakat (1976-80).

Apabila beliau pulang setelah tamat pengajiannya, beliau diangkat
menjadi Pegawai Penyelidik merangkap Editor Dewan Masyarakat dan
Editor Dewan Budaya sehingga terpaksa melepaskannya pada tahun
1983. Semuanya itu menjadi asam garam dalam hidup dan oleh sebab
kehidupannya dibebani dengan pensel, dakwat, mesin taip dan sekarang
komputer, maka sekali gus itu pula merupakan asam garam yang
menggarami rentetan dunia penulisan kreatif dan deskriptifnya.
Orang selalu melihat kepada tulisan dalam bentuk buku. Puncak
daripada kegiatan 20 tahun itu, beliau dapat melahirkan dua buah
buku sahaja, antologi cerpen dengan judul Nyiur Bertuah Nyiur Celaka
terbitan Eastern Universiti Press (M) Sdn. Bhd. pada tahun 1981 dan
sebuah lagi ialah Etika dan Wartawan diterbitkan oleh Penerbit Fajar
Bakti pada tahun 1986 yang diangkat daripada tesis sarjana komunikasinya.
Namun, dua buah sahaja sudah membuktikan keaktifannya
sebab karya-karyanya banyak termuat dalam antologi bersama, terutamanya
cerpen seperti Suatu Subuh Yang Bening, Dongeng Merdeka,
Alun Menggulung Perlahan, Titisan Indah di Bumi Merkah dan Angin
Pulau.

Cerpen-cerpennya menggarap tema yang menarik, bermula daripada
kebiasaan dan kesengajaan dalam masyarakat yang berakar kepada
kepercayaan tahayul, sampailah pertembungan nilai moden sebagai
bantahan kepada nilai lama tadi dan langsung berarusan kepada karyakarya
yang berunsur futuristik, khususnya fi ksyen sains.
Dalam pada itu, A.F. Yassin tidak ketinggalan menjenguk
pergolakan negara dalam zaman pendudukan Jepun, suatu kisah yang
amat memikat generasi muda. Anggapan umum bahawa askar Jepun
bengis dan kasar tidak benar semuanya bagi penulis ini kerana di tengah-
tengah kekasaran ada kelembutan langsung misalnya panglima
perang Jepun yang berkubu di sebuah kampung di Negeri Sembilan.
Panglima itu memeluk Islam dan mengahwini perempuan Melayu.
Malangnya, masyarakat akhirnya menolaknya dan pembunuhan harus
dibalas dengan pembunuhan juga. Demikian ia berakhir dengan tragis
yang memisahkan kasih sayang seorang isteri bersama-sama suami
akibat keganasan perang. Ini merupakan kisah yang menarik, sebagai
kontradiksi kepada cerpen pertamanya.

Cerpen-cerpennya beralur biasa, beralur konvensional tetapi arus
pengalaman mengajaknya menghasilkan karya yang lebih sofistikated
dan berbelit-belit plotnya. Tidak ada yang kalah dan tidak ada yang
menang. Pertentangan akhirnya membawa padah seperti dalam Nyiur
Bertuah Nyiur Celaka. Disentuh pula kisah kepercayaan masyarakat
kampung kepada pawang seperti dalam “Dukun Leman Hidup Semula”.
Sama halnya dengan cerpen “Roh Haji Zainuddin yang ganjil”. Dalam
hal ketahayulan ini, penulis cuba mengalih akan obsesi masyarakat
kampung bahawa alam tahayul sebenarnya ciptaan manusia sendiri.
Oleh itu, masyarakat haruslah menolaknya. Dengan sebab itulah lahirnya
karya-karya fiksyen sains dan yang bercorak futuristik seperti
“Catatan Harian Kapten Amerus”. 

Ada anggapan bahawa fiksyen sains harus menonjolkan fantasi benar. Andaian ini tidak semestinya benar. Fantasi haruslah dilengkapi dengan fakta dan ilmu sains dan teknologi
dalam diri penulis akan menghasilkan fi ksyen sains yang munasabah
dan dapat dimanfaatkan. Di sinilah keberhasilan A.F. Yassin dalam dunia
sainsnya, lebih-lebih lagi yang berhubungan dengan tema penerokaan
ke angkasa lepas yang ada kaitannya dengan jurutera dan teknik.
Dalam perkara ini, karya-karya A.F. Yassin mengajak masyarakat pelajar,
terutamanya supaya berfikir.

Dulu-dulu, karyawan selalunya sasterawan. Tengoklah contohnya
seperti Rahim Kajai, Ishak Haji Muhammad, Keris Mas, Usman
Awang, A. Samad Ismail dan Samad Said, tetapi sekarang keterikatan
di antara kedua-duanya jarang dapat ditemukan. Dalam pada jarang - jarang
itu, A.F. Yassin merupakan seorang daripadanya. Itu pun
dahulu sebab sekarang beliau sudah menjadi perancang untuk gedung
penerbitan. Walau bagaimanapun, setidak-tidaknya dunia komunikasi
pernah dijengah dan langsung didalaminya dan sudah tentulah ada
pendapat bernas di sebaliknya.

Memang benar, kedalaman dan keluasan ilmunya sebenarnya terpancar
di sini walaupun tidak dapat dinafikan karya-karya sasteranya
pernah termuat dalam Dewan Sastera, Mastika dan Dewan Budaya.
Ada sesuatu yang dicantasnya dan ada sesuatu yang dibenarkannya.
Contohnya ialah apabila A.F. Yassin mengandaikan bahawa etika
wartawan belum wujud secara formal di Malaysia. Ini merupakan tesis
dalam bukunya Etika dan Wartawan. Bagi kami, etika wartawan sebenarnya
belum dilembagakan sahaja sebab sudah banyak akta dan
peraturan yang arus difi kirkan demi kelangsungan negara dalam suasana
aman, harmoni dan makmur untuk terus terangkum dalam se-
buah negara A United Nation.

Rasanya, saranan beliau amat tepat pada bahagian akhir buku ini bahawa
kebebasan akhbar yang disertai tanggungjawab sosial yang sesungguhnya
wujud di negara ini haruslah dimanfaatkan untuk meningkatkan
sesuatu konfl ik yang berlaku dalam masyarakat kepada tingkat
diskusi nasional hingga persoalan itu dapat diselesaikan, ter-utama
yang melibatkan kepentingan akomodasi ditinjau dari sudut sosial.
Dengan sebab itulah, wartawan perlu menunjukkan rasa perpaduan
melalui pembentukan persatuan wartawan yang bersifat profesional
pada peringkat nasional. Ini perlu difi kirkan dan seterusnya persatuan
akan menyedarkan masyarakat wartawan apakah mereka perlu kepada
wujud atau tidaknya etika kewartawanan itu.

Kalau misalnya etika kewartawanan itu perlu ada, ia haruslah disandarkan
kepada etika yang telah dipakai di negara-negara lain seperti
Indonesia, Jepun dan Amerika. Apabila sudah dibentuk, sebuah
badan kehormatan perlu pula diwujudkan untuk memastikan setiap
wartawan patuh kepadanya. Sesungguhnya ini merupakan saranan
yang amat berguna dan dapat dimanfaatkan.(27 Disember 1987)

(Dipetik dari buku Memoir A.F.Yassin 2 Menuju Pelabuhan Waktu 
yang sedang di peringkat bacaan pruf).

1 comment:

  1. Who is this Asri Affandi? Still no idea who this writer is since 1987.

    ReplyDelete