![]() |
Yahaya Ismail yang tak lekang dengan paipnya |
![]() |
Dalam buku ini terkandung artikel tentang Pakya dengan kegiatan penulisannya |
![]() |
Pakya ketika saya temui beberapa tahun lalu mendengar buah fikirnya tentang kemajuan bahasa Melayu setelah 50 tahun merdeka. Sembang bual ini diadakan di rumahnya di Kg Tunku, Petaling Jaya |
Tidak ingat, bila kali terakhir saya menemui Yahaya Ismail atau
berbual dengannya. Yahaya sibuk sakan, maklum seorang sasterawan dan kini
penulis buku politik sepertinya perlu berada dalam keadaan peka dengan dunia
sekelilingnya. Yahaya juga seorang tokoh besar kesusasteraan suatu ketika dulu
dengan karya-karyanya sering mengundang kontraversi dan polimik. Satu Khamis (beberapa bulan sebelum buku Sembang Sastera ini terbit), Yahaya
menelfon. Suaranya masih seperti biasa dengan dialek Kedah campur Indonesia
yang semakin membekas sebagai identiti dirinya. Dan seperti biasa setiap kali
memulakan bicara, baik ketika bertemu mahupun ketika bercakap melalui telefon
Yahaya akan bertanya, “Apa ada cerita baru?”
Dengan suara tinggi seperti biasa, Yahaya akan bercakap yang
diselang dengan ketawa. Kadang-kadang kata-katanya melucukan juga dan kami
sama-sama ketawa panjang. Pagi itu entah apa mimpinya Yahaya telefon.
Barangkali dia menerima kad raya dari saya yang turut memaparkan sebuah gambar
lamanya. Atau memang sudah lama sangat kami saling tidak berhubungan.
Seperti biasa topik yang dibincangkan tidak lari daripada kegiatan
penulisan, persatuan penulis, terutama Pena dan Gapena. Yahaya pun pernah
memimpin Pena satu ketika pada tahun 1980an dan dia dilabel cuba menyeret
persatuan penulis nasional itu masuk ke kancah politik. Kebetulan UMNO ketika
itu sedang berdepan dengan Parti Semangat 46 pimpina Tengku Razaleigh Hamzah.
Ada sesetengah kalangan dalam UMNO yang mendakwa Yahaya sedang mendekatkan Pena
ke Parti Semangat 46.
Dalam perbualan pagi khamis itu, Yahaya masih juga prejudis
terhadap kegiatan Gapena di bawah pimpinan Tan Sri Ismail Hussein. Baginya,
Gapena masih lagi seperti dulu, mencari Melayu yang tak habis-habis. Ismail
yang kebetulan berada di Sibolga ketika ini mengundang pertanyaan Yahaya. “Buat
apa Ismail ke sana?” Seolah-olah Yahaya ingin bertanya, “Bukankah daerah
Siobolga itu daerah Batak. Apakah orang Batak itu orang Melayu?” Seolah-olah
Yahaya mahu memberitahu Ismail bahawa orang Batak dengan orang Melayu di
Sumatera Utara masih mempunyai masalah hubungan akibat sengketa tanah dan
daerah.
Satu kesimpulan dapat ditarik daripada pertanyaan Yahaya, iaitu
selagi persatuan penulis yang bergabung dalam Gapena dipimpin oleh orang-orang
yang sama sejak puluhan tahun lalu, tidak mungkin akan berlaku perubahan dalam
pucuk pimpinan Gapena, dan seterusnya dalam dasar dan kegiatannya. Yahaya
seperti mahu melihat Gapena mencari dasar baru yang boleh menjadikan Gapena
lebih bererti kepada masyarakat penulis daripada hanya menumpukan perhatian
kepada kegiatan “mencari Melayu”nya.
“Pada saya, yang penting Gapena berperanan aktif menjaga
kepentingan penulis dan melibatkan diri dalam isu-isu yang mempunyai
kepentingan nasional, walaupun tidak semestinya politik,” katanya. Tafsiran
yang boleh dibuat daripada cara berfikir Yahaya ialah Gapena, sebagai induk
persatuan penulis seluruh Malaysia perlu melihat ke dalam; melihat masalah akar
umbi Melayu Malaysia, terutama penulis-penulisnya. Masih banyak masalah yang
perlu diberikan perhatian. Misalnya, masalah royalti dan cara berurusan dengan
penerbit; masalah Dewan Bahasa dan Pustaka yang tetap sahaja dengan isu lapuk
buku tak lakunya dan pengurusannya; masalah beberapa persatuan penulis yang
khabarnya mengalami krisis kepimpinan.
Tafsiran ini ada juga benarnya. Bukan menjadi rahsia lagi ada
persatuan penulis yang tidak berlaku adil kepada ahli-ahli penulisnya, terutama
yang tidak sebulu dengan pucuk pimpinan. Ada persatuan yang jumlah ahlinya
tidak bertambah langsung sejak mula ditubuhkan. Ada pula negeri yang diwakili
empat persatuan dalam kerabat Gapena. Pada hal negeri itu adalah antara yang
terkecil jumlah penduduk mahupun luas wilayahnya. Lebih menarik ada persatuan
yang barisan pemimpinnya tidak pernah bertukar sejak ditubuhkan.
Betul juga! Pernah seorang ahli seumur hidup Pena bertanya, “Mana
ada persatuan penulis yang sejak tahun 1970an sudah membuat pertukaran pemimpin
silih berganti melalui proses pemilihan. Setahu saya cuma Pena sahaja. Kita
tahu Pena mempunyai ketua yang bertukar ganti. Dari Usman Awangnya, Mohd Nor
Azamnya, Adam Kadirnya, Baha Zainya, Maarof Saadnya, Yahaya Ismailnya dan kini
Ahamd Sebinya.”
Selain Pena barangkali Persatuan Penulis Johor (PPJ) juga
adakalanya bertukar pemimpin. PPJ pernah dipimpin beberapa tokoh penulis
antaranya Ismail Zamzam, Mas’ud Abd Rahman (allahyarham) dan Shukor Ismail.
Kecuali Pena dan PPJ ada satu dua persatuan penulis lain yang berbuat begitu.
Namun hendak kita salahkan persatuan-persatuan lain kerana tidak bertukar
pemimpin, tidak boleh juga. Ada persatuan yang ahli-ahlinya enggan dipilih
menerajui kepimpinannya sehingga pemimpin yang ada terus diminta mengekalkan
jawatannya. Alasan yang diberikan lebih bersifat peribadi. Ada yang terlalu
terlalu sibuk dan masa untuk menumpukan perhatian kepada persatuan terlalu
kurang. Kemudian ada juga ahli-ahli persatuan yang tidak mahu mengganggu status
quo kepimpinan yang ada kerana khuatir kegiatan persatuan akan tergugat. Atas
alasan ini maka ada persatuan yang tetap dipimpin oleh tokoh-tokoh yang sama
sejak dulu sampai sekarang.
Di sinilah letak persoalan mengapa Ismail perlu memberikan
perhatian kepada masalah dalaman. Kata seorang penulis, “Tan Sri boleh sahaja
mencari Melayu di luar negeri tapi berikan tumpuan lebih kepada masalah
persatuan, terutama mencari jalan mengubah minda ahli-ahli persatuan di
tiap-tiap negeri supaya lebih pro-aktif dalam persatuan. Bagaimana kalau Gapena
merancang lebih banyak kegiatan yang berkait dengan latihan atau seminar
perubahan minda ahli. Kurangkan sedikit kegiatan memberi kursus sastera,
seperti bagaimana mahu menulis sajak, cerpen, lulus peperiksaan dalam kertas
sastera atau sebagainya.”
Di samping Gapena, Yahaya juga berbincang tentang peranan akhbar
tabloid yang banyak terdapat di pasaran sekarang. Yahaya sendiri memiliki dan
memimpin tabloid “Bebas” sejak beberapa tahun yang lalu. “Alhamdulillah, masih
dapat bertahan. Itu pun setelah saya tukar strategi dan pendekatan dalam
pemberitaan,” katanya. Yahaya megakui bukan mudah mengekalkan kelangsungan
hidup akhbar tabloid, terutama jika tabloid itu cendung untuk menyokong
golongan establishment. Kalau seratus peratus menyokong pihak kerajaan atau
parti kerajaan, tabloid itu seperti “menempah maut”. Bukan sahaja ia akan
terpaksa berdepan dengan akhbar-akhbar arus perdana yang sudah mapan, tetapi
juga ia tidak akan dapat merebut audien pembaca yang kesetiaannya telah
“melekat” dengan akhbar arus perdana.
Sebaliknya jika tabloid menuruti arus kecenderungan pembangkang
secara melulu, ia terpaksa bersaing dengan lenggok dan pendekatan pemberitaan
tabloid milik pembangkang. Kecuali tabloid seperti yang dimiliki Yahaya mahu
menjadi organ parti pembangkang, tidak mungkin tabloid berkenaan dapat bersaing
dengan akhbar dan tabloid pembangkang. Maka satu-satunya jalan yang ada ialah
satu formula yang meletakkan tabolid pada kedudukan tidak sepenuhnya berpihak
kepada establishment tetapi ada kecenderungan memihak kepada pembangkang dalam
pendekatan pemberitaannya. Atau tabloid berkenaan memanfaatkan intirk-intrik
dan konflik dalaman yang bergolak dalam parti politik, terutama dalam parti
yang memerintah. Kelihatannya tabloid “Bebas” yang dipimpin Yahaya membuat
pendekatan ini. Begitu juga dengan beberapa tabloid yang lain seperti “Buletin
Utama”dan “Buletin Demokrasi”yang dipimpin Jamaluddin Bakar, bekas eksko Pemuda
UMNO.
Yahaya mendapati pendekatan seperti ini merupakan jalan tengah
yang dianggapnya banyak mendatangkan manfaat kepada kelangsungan hidup
tabloidnya. Tetapi yang menjadikan tabloidnya kembali mendapat tempat dalam
pasaran ialah pendekatan pemberitaannya yang lebih pro parti pembangkang.
Barangkali Yahaya bertolak daripada sikap umum pembaca yang inginkan berita
alternatif selain daripada yang dipaparkan akhbar arus perdana, seperti Utusan
Malaysia, New Straits Times, The Star, The Sun, Berita Harian, Nanyang Siang
Pau, Sin Chew Jit Poh atau Tamil Nesan. Juga bukan tidak mungkin Yahaya juga
menganggap tidak semua orang suka membaca tabloid organ pembangkang kerana
pendekatannya yang terlalu prejudis terhadap kerajaan, seperti Harakah,
Keadilan dan lain-lain. Masih ramai yang inginkan pendekatan yang neutral dan
mendedahkan kelemahan parti-parti politik, baik yang memerintah mahupun yang
membangkang. Yahaya mendapatkan formulanya daripada keinginan golongan ini.
Apapun jua, Yahaya yang telah lama meninggalkan dunia
kesusasteraannya, kini merupakan orang media yang sentiasa berusaha mencari
pendekatan yang terbaik untuk meningkatkan nilai komersial medianya. Perubahan
dalam cara berfikir tidak dapat dia elakkan, seperti yang terlihat dalam
penerbitan tabloid “Bebas”. Bagi sesetengah kalangan, perubahan dalam cara
berfikir Yahaya ini adalah kekuatannya. Hal ini amat ketara jika kita menilai
karya-karyanya sejak mula dia menulis buku berunsur politik, seawal tahun-tahun
1980an dahulu.
Sesiapa sahaja yang membaca buku-buku politiknya nescaya akan
mendapati cara berfikir Yahaya yang kritikal berubah-ubah dari satu ekstrim ke
satu ekstrim yang lain. Pada suatu ketika buku Yahaya begitu kritikal terhadap
tokoh-tokoh tertentu dalam parti kerajaan dan ada ketikanya pula bukunya memuji
sakan tokoh-tokoh yang sama. Katanya, “Tunggulah buku baru saya yang bakal
terbit Januari tahun depan. Mesti meledak.” Apabila ditanya apakah buku itu
nanti pro atau anti establishment jawabnya, “You tunggulah.” Kelihatannya hanya
dengan Gapena sikap Yahaya tak banyak berubah.
(Beberapa hari yang lalu saya telah menulis serba ringkas dalam FB tentang jalinan persahabatan saya dengan Yahaya Ismail yang saya panggil Pakya sejak mula saya mengenalinya pada tahun 1970'an dahulu. Dalam buku saya Sembang Sastera yang diterbitkan oleh Penerbit Fajar Bakti kira-kira 20 tahun yang lampau ada saya menulis tentang Pakya dalam satu artikel panjang. Pakya adalah di antara hampir 70 tokoh sastera domestik dan antarabangsa yang menghiasi buku itu. Malah dalam artikel tentang Pakya itu saya memberikan pengkhususan kepada tabloid politik yang diterbitkan Pakya yang mendapat sambutan baik dari kalangan publik pembaca di samping berpuluh buah buku politiknya. Sekarang Pakya tetap vokal mengulas tentang keadaan politik semasa. Dan Pakya kelihatan bersikap non-partisan dalam perjuangannya "mencari kebenaran" menurut kacamata dan persepsinya sendiri.)
No comments:
Post a Comment