Saturday, 26 August 2017

MALU KITA ORNG MELAYU BIAR BERTEMPAT

Di sebuah perkampungan tradisi orang Melayu
 di kaki Banjaran Titiwangsa. Kampung tradisi ini
lazinya secara umumnya adalah kawasan
tanah rizab orang Melayu

Ketika membaca berita muka depan akhbar “Utusan Malaysia” 24 Ogos lalu (tahun bila  saya lupa), saya berada di Skudai, sedang sarapan di satu gerai di Taman Tun Aminah, kira-kira 10 kilometer dari Johor Bahru. Kebetulan duduk di sebalah meja saya seorang tua dengan rambut dan janggut berwarna putih. Pakaiannya sedikit lusuh dan sesekali dia memerhatikan saya. Setelah beberapa kali membalas senyuman kami akhirnya duduk semeja. Saya tanyakan mengapa dia sering sahaja memandang saya.
 “Tidak,” katanya. “Saya sedang  tengok surat khabar yang awak pegang.”

Ternyata orang tua itu yang berbadan sasa, sedang memerhatikan tajuk berita “Melayu Patut Malu”. Laporan Asuki Abas tentang ucapan bekas perdana menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad tentang sikap orang Melayu hari ini. Menurut laporan itu, orang Melayu patut berasa malu dengan keistimewaan yang diberikan oleh kerajaan kepada mereka termasuk tanah rizab Melayu kerana ia menunjukkan mereka masih lemah dan perlu dilindungi.

Saya tanyakan pendapat orang tua itu, yang mahu dipanggil “Usof” sahaja. Dia memberitahu nama penuhnya tapi katanya seperti dia mahu bergurau, “Panggil saya Usof sudah. Pakcik Usof pun tak apa. Abang Usof lagi baik,” Tajuk besar pagi itu mengikat kami dalam bualan kosong yang baginya seperti melepaskan apa yang terluah dalam hati ini. Katanya, “Saya setuju pandangan Mahathir tapi saya nak malu macam mana kalau keadaan kita macam ini.”  Mat menuding ibu jari kanannya kepada dadanya. Suaranya sedikit tinggi.

Ternyata Usof tidak sepenuhnya setuju dengan pendapat bekas perdana menteri itu. “Kita kena tanya orang Melayu yang macam mana patut malu. Kita ada berjuta orang Melayu. Yang miskin, yang kaya, yang cerdik, yang tak pandai, yang hidup melarat dan macam-macam. Saya tanya awak, orang Melayu yang mana satu yang patut malu?”

Saya tidak menjawab. Semakin tak sabar saya mahu mendengar pendapatnya. Mengapa diungkit tanah rizab Melayu dan hak istimewa? Dia seperti mempersoal kebijaksanaan mengungkit perkara-perkara berkenaan. Dia bercerita tentang dirinya yang saya rasa menarik untuk dicatat.

Usof berasal dari Melaka, Usianya menjangkau 70 tahun. Sudah punya cucu. Pernah mengadu nasib di Singapura dan pernah menjadi Konstabel Khas (SC = Special Constable). Juga pernah bertugas dalam tentera di Changi. Oleh kerana tidak memunyai pendidikan tinggi, setakat lulus darjah tiga sekolah Melayu, bidang kerjaya yang layak dia ceburi hanyalah drebar. Dia pun menjadi drebar kepada seorang tauke Cina, berulang alik ke Singapura sebagai memenuhi permintaan taukenya itu.

Sebelah malamnya Usof menjadi jaga sekolah. Maka siang dia drebar dan malam dia jaga. Bila masa dia tidur dan bersama keluarga hanya pandai-pandai dia mencuri waktu. Menurutnya dia menerima sijil penghargaan setelah bertugas di Singapura dan sebagai  Konstabel Khas. Sebagai bekas anggota angkatan bersenjata dia cuba memohon lesen taksi. “jenuh juga menunggu tapi menunggu sajalah sampai sekarang,” katanya. “Dah bertahun-tahun tapi tak ada rezeki.”

Sesekali berhenti bercakap dia akan menghisap paipnya dan menghembuskan asap, berkepul-kepul ke udara. Bunyi sedutan begitu jelas dan ada ketikanya dia akan menyumbat tembakau dengan menekan-nekan laiter di mulut paip. Tiba-tiba dengan suara garang dia berkata, “Saya malu dengan keadaan saya ini. Dah bekerja siang malam, dah minta rezeki yang lebih baik tapi  saya tak dapat beri cukup kepada keluarga saya. Masih merempat. Tapi saya tak malu kerana saya ada tanah di kampung, ada dusun walaupun tanah itu tanah rizab.”

Dia menjelaskan suatu waktu orang tua dan saudara-saudaranya yang tinggal di Melaka mempunyai tanah sawah di bandar Melaka. Semuanya sudah dijual, malah sekeping tanah berhadapan dengan perkuburan Cina kepunyaan iparnya kini telah terlepas milik dijadikan kawasan perumahan. Seorang pemaju Cina mendirikan rumah teres untuk dijual melalui perjanjian iparnya akan diperuntukkan dua ruamah teres. Katanya, “Saya tak tahu hendak dikata malu atau tidak kalau tanah itu akhirnya bertukar milik apabila ipar saya itu dibayar dengan hanya dua buah rumah teres.”

Mesej yang ingin disampaikan Usof melalui cerita iparnya ini ialah kehidupan yang tidak seberapa yang dilaluinya mendesak dia menjual tanahnya. Usof mahu orang Melayu bertanya sendiri berapa banyak tanah milik orang Melayu yang bukan tanah rizab yang telah terlepas tangan. Katanya lagi, “Kalau sekatan seperti tanah rizab tak ada, saya rasa semakin lama lebih ramai orang Melayu tak bertanah.”

Bualan Usof  pagi itu seperti menyetujui pandangan bekas perdana menteri, iaitu tanah rizab Melayu memalukan orang Melayu kerana ia menunjukkan “kita masih lemah, tidak boleh bersaing dan perlu dilindungi.” Banyak kali Usof angguk setuju setiap kali dia baca laporan akhbar itu. “Beginilah, berapa banyakkah orang Melayu yang sudah boleh bersaing dan tidak perlu lagi dilindungi. Orang Melayu seperti saya yang minta lesen taksi tak dapat-dapat sedangkan saya ada pengalaman, bekas tentera pula?” soalnya.

Secara tersiratnya Usof mahu menanyakan salah siapa jika orang Melayu masih lemah dan gagal bersaing. Jika kita menoleh sejarah bangsa Melayu, nescaya jawapannya ada di situ. Sebelum dijajah lebih 400 tahun dahulu orang Melayu tidak pernah berdepan dengan persaingan kerana kehidupan tani dan sikap feuadalistik. Ketika dijajah cara hidup tidak banyak berubah, Melayu tetap dengan kehidupan lama, bertani dan berkerja di bawah penguasa (kerajaan). Baru hanya setelah berlakunya Peristiwa berdarah 13 Mei pihak berkuasa mengambil tindakan serius cuba mengubah daripada cara hidup bertani kepada cara hidup berniaga atau yang ada kaitannya dengan ekonomi melalui dasar ekonomi baru. Tujuannya semua orang sudah maklum. Diharapkan dalam tempoh dua dekad sasaran Dasar Ekonomi Baru akan tercapai. Meningkatkan taraf hidup orang Melayu dan Bumiputra dengan 30% ekuiti Melayu.

Kata Usof, “Saya tak pandai kira-kira. Tapi boleh ke kita berubah perangai dalam 20 tahun. Kita merdeka belum sampai 50 tahun. Otak kita otak  500 tahun dulu. Nak berubah bukan senang. Apa lagi nak buat kerja yang lain dari yang kita tahu.” Kata-kata Usof mengingatkan saya tentang sejarah Amerika Syarikat sendiri. Selepas hampir 100 merdeka, iaitu pada tahun 1861, Amerika Syarikat masih lagi mengalami perang saudara. Presiden Abraham Lincoln  terpaksa meminta lebih banyak kuasa untuk membasmi sistem perhambaan di wilayah selatan negeri itu. Perang meletus antara tentera Union dengan Confederates.

Oleh itu, jika bangsa yang kononnya juara demokrasi itu mengambil masa ratusan tahun untuk menjadikan rakyat seperti yang ada hari ini, apalah 20 tahun untuk orang Melayu mengubah sikap dan mentalitinya sudah cukup untuk menjadikannya berasa malu untuk memilik tanah rizab dan hak istimewa? Mengubah sikap bukan mudah dan ia memerlukan tempoh yang lama. Ia sebenarnya seperti cuba mengubah orang Cina yang tradisinya bergiat dalam bidang perniagaan menjadi anggota keselamatan.
Usof kata dia tidak malu memiliki tanah di bawah rizab Melayu kerana kalau saya nak jual pun saya jual kepada orang Melayu. “Selagi anak-anak saya belum berjaya hanya tanah inilah saya kekuatan saya. Saya hanya malu kerana harga tanah rizab kita tidak setinggi harga tanah lain. Sepatutnya orang yang menentukan harga begitu patut malu. Lagi pun kita nak bersaing dengan apa. Makan pun kadang-kadang ala kadar sahaja. Tunggulah mungkin cicit saya nanti boleh buat itu semua,” katanya di akhir perbualan. 













 
 


  

No comments:

Post a Comment